Malaysia Hot

Lelaki Filipina ditahan bersama 10 ekor tenggiling hidup dan gading gajah dalam serbuan di Sabah.


KINABATANGAN: Seorang lelaki warga Filipina berusia 27 tahun ditahan selepas didapati menyimpan 10 ekor tenggiling hidup di sebuah ladang di Kampung Paris 3 semalam.

Suspek ditahan dalam Op Bersepadu Khazanah yang dijalankan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 15 di pintu masuk The Yang Plantation kira-kira jam 8.30 malam.

Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut menemui dua bungkusan plastik mengandungi kira-kira 9 kilogram sisik tenggiling serta satu gading yang dipercayai milik gajah.

Pengarah JHLS, Mohd Soffian Abu Bakar berkata, lelaki itu ditahan kerana memiliki hidupan liar dan bahagian hidupan liar yang dilindungi secara haram.

“Semua spesimen dan bahagian hidupan liar tersebut telah dirampas, manakala suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

“Kami akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi penguat kuasa lain bagi membanteras aktiviti pemburuan haram yang mengancam khazanah biodiversiti Sabah,” katanya.

Di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997, kesalahan melibatkan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM250,000, penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mohd Soffian turut menggesa orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kesalahan berkaitan hidupan liar kepada pihak berkuasa.

Sumber.

Previous Post Next Post

نموذج الاتصال