Malaysia Hot

8 maut dalam nahas pesawat pengebom AS di California




LOS ANGELES: Sekurang-kurangnya lapan individu maut apabila sebuah pesawat pengebom B-52 milik Amerika Syarikat (AS) terhempas dan terbakar sejurus berlepas dari sebuah pangkalan tentera udara di California hari ini.

Pesawat pengebom berat itu sedang menjalankan misi ujian rutin dengan membawa gabungan anggota tentera, pegawai kerajaan dan kontraktor awam, sebelum terhempas dalam letupan besar di Pangkalan Tentera Udara Edwards, kira-kira 95 kilometer (km) di utara Los Angeles.

Rakaman selepas nahas yang disifatkan pegawai sebagai 'mustahil untuk ada yang terselamat' menunjukkan kawasan tanah yang hangus terbakar dengan hampir tiada bahagian pesawat gergasi itu yang masih dapat dikenal pasti.

"Pangkalan Tentera Udara Edwards mengalami satu tragedi yang amat menyedihkan dan kami kehilangan lapan rakyat AS yang hebat," kata Kolonel James Hayes kepada wartawan di pangkalan itu.

Hayes berkata, pesawat B-52 Stratofortress, pesawat pengebom jarak jauh yang digunakan tentera AS sejak 1950-an, sedang menjalani penerbangan ujian sebagai sebahagian daripada proses pemodenan sistem radar.

"Ia berlepas dan sejurus selepas itu terhempas serta terbakar," katanya sambil menambah pasukan kecemasan segera dikerahkan ke lokasi, namun tidak lama kemudian mendapati tiada mangsa yang dapat diselamatkan.

"Selepas meneliti rakaman nahas, ia disahkan sebagai kemalangan yang tidak dapat dielakkan dan mustahil untuk ada yang terselamat."

Punca tragedi itu masih belum diketahui dan siasatan keselamatan segera dilancarkan.

Nahas berlaku sekitar waktu tengah hari di pangkalan berkenaan, yang juga pusat operasi utama tentera AS, dan kejadian itu terhad dalam kawasan pangkalan, kata Hayes.

Susulan tragedi itu, lapangan terbang pangkalan ditutup dan semua pesawat yang dijadual mendarat diarahkan ke lokasi lain, menurut kenyataan pangkalan itu di media sosial.

Hayes berkata, identiti mangsa yang terkorban tidak akan didedahkan sehingga semua waris terdekat dimaklumkan, satu proses yang menurutnya masih berjalan dan mungkin berlanjutan sepanjang hari.

B-52 ialah pesawat pengebom berat yang pertama kali diterbangkan pada 1954 dan pada asalnya direka untuk menghadapi peperangan dengan Kesatuan Soviet. 

Pesawat itu terus dinaik taraf bagi memastikan ia kekal beroperasi selama beberapa dekad selepas berakhirnya Perang Dingin.

Pesawat pengebom gergasi itu, yang mampu membawa pelbagai jenis senjata termasuk bom dan peluru berpandu, mempunyai rentang sayap 56 meter dan panjang 48 meter.

Menurut lembaran fakta Tentera Udara AS, pesawat itu lazimnya dikendalikan lima kru iaitu komander pesawat, juruterbang, pengemudi radar, pengemudi dan pegawai peperangan elektronik.

Dengan jarak operasi tempur sehingga 14,160km, pesawat itu berupaya membawa muatan senjata nuklear.



AS pernah mengerahkan pesawat berkenaan dalam konflik di Vietnam, Teluk, Iraq, Afghanistan dan yang terbaru di Iran. - AFP




Previous Post Next Post

نموذج الاتصال