SANTA CLARA: Pemain Australia cukup matang untuk menangani segala perhatian menjelang aksi berprofil tinggi menentang tuan rumah bersama, Amerika Syarikat (AS), dan tidak memerlukan kakitangan pasukan mengingatkan mereka supaya menjauhi media sosial.
Pembantu jurulatih Australia, Hayden Foxe berkata, Socceroos yang akan bertemu AS di Seattle pada Sabtu ini sudah cukup berpengalaman untuk berdepan segala komen dan pandangan luar.
Kedua-dua pasukan hadir dengan keyakinan tinggi selepas memenangi aksi pembukaan Kumpulan D, apabila Australia menewaskan Turkiye 2-0 manakala AS membelasah Paraguay 4-1.
Beberapa pengulas di AS dilaporkan memandang rendah kemampuan Australia, termasuk bekas pertahanan negara itu, Alexi Lalas yang menyifatkan Socceroos sebagai 'pasukan biasa' dalam kejohanan membabitkan 48 negara bertanding.
Bagaimanapun, Foxe menegaskan tiada keperluan untuk melindungi pemain daripada kritikan atau pandangan luar.
"Kami tidak boleh terlalu memanjakan mereka. Mereka adalah diri mereka sendiri dan kami mahu mereka kekal begitu.
"Media sosial sentiasa ada. Mereka sedar mengenai laporan media, komen dan apa yang diperkatakan mengenai mereka.
"Tetapi fokus kami adalah kepada diri sendiri. Mereka sudah cukup dewasa dan matang untuk memahami apa yang diperkatakan," kata bekas pertahanan tengah Socceroos itu.
Australia yang belum pernah melepasi pusingan 16 terbaik memulakan kempen dengan cemerlang apabila mengejutkan Turkiye menerusi kemenangan 2-0 hasil jaringan berkualiti Nestory Irankunda dan Connor Metcalfe.
Irankunda mengakui kenyataan kapten Turkiye, Hakan Calhanoglu yang mendakwa pasukannya lebih berbakat berbanding Australia sedikit sebanyak menaikkan semangat pemain Socceroos.
"Ia memang membuatkan beberapa pemain berasa marah, tetapi pada akhirnya mereka boleh bercakap apa sahaja... kami tidak begitu peduli," kata Irankunda.
Metcalfe pula berkata Australia kendalian Tony Popovic akan turun menentang AS dengan penuh tenaga dan keyakinan.
Namun Foxe mengingatkan anak buahnya supaya tidak terlalu hanyut dengan kemenangan ke atas Turkiye.
Beliau mengimbau bagaimana dunia bola sepak pernah teruja apabila Arab Saudi mengejutkan juara bertahan, Argentina, pada Piala Dunia 2022 sebelum tersingkir di peringkat kumpulan.
"Kemenangan ke atas Turkiye memang hebat dan cukup bermakna. Nikmatilah detik itu. Tetapi itu sudah berlalu. Kini fokus kami sepenuhnya kepada AS," katanya.
Sumber.
Tags
Sukan

