LOS ANGELES: Bintang Hollywood Anne Hathaway tidak menunggu lama untuk mempamerkan kandungan anak ketiganya apabila dilihat menikmati percutian di pantai St Tropez sejurus selepas mengumumkan kehamilannya bersama suami, Adam Shulman.
Pelakon pemenang Oscar itu dilihat bersantai di bawah sinaran matahari bersama suami dan dua anak mereka.
Hathaway berkongsi berita gembira tersebut menerusi sebuah video yang diiringi lagu klasik Baby, I'm Yours nyanyian Barbara Lewis.
Dalam video itu, beliau berjalan ke arah kamera sambil meletakkan kedua-dua tangan di atas perutnya sebelum memperlihatkan kandungannya.
Hathaway dan Shulman yang berkahwin pada 2012 kini mempunyai dua anak lelaki, Jonathan, 10, dan Jack, 6.
Ketika berada di pantai, pelakon The Devil Wears Prada itu tampil bergaya dengan pakaian renang mewah, topi jerami, cermin mata hitam dan kain bercorak yang dililit di pinggang.
Beliau turut mengenakan gaun maxi gaya bohemian sebagai persalinan luar sebelum menukar pakaian kepada sut renang bercorak tie-dye untuk menikmati mandi laut.
Percutian di bandar peranginan terkenal di Riviera Perancis itu berlangsung sejurus selepas pengumuman kehamilannya di Instagram pada hari yang sama.
Berita tersebut hadir tidak lama selepas Hathaway berkongsi kegembiraannya mengenai kehidupan berkeluarga dalam satu temu bual bersama majalah Elle bulan lalu.
Mengulas tentang keluarganya, beliau berkata mereka kini berada dalam fasa yang sangat menyeronokkan kerana semua ahli keluarga gemar meluangkan masa bersama.
“Kami sentiasa suka meluangkan masa bersama mereka, tetapi mungkin perasaan mereka terhadap kami akan berubah apabila mereka semakin membesar,” katanya sambil ketawa.
“Buat masa ini, kami benar-benar menikmati setiap saat. Saya dan Adam sangat menghargai masa ini. Saya sedang menikmati kehidupan yang indah bersama keluarga saya, tinggal di bandar impian saya, dan kerjaya saya juga berjalan dengan sangat baik.”
Sumber.
Tags
Hiburan

