Malaysia Hot

Pemandu mabuk, positif dadah antara ditahan dalam operasi bersepadu di Seremban


SEREMBAN: Polis menahan 10 lelaki, termasuk empat pemandu mabuk dan seorang positif dadah dalam Operasi Bersepadu, Ops Samseng dan Ops Samseng Jalanan, yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar daerah ini, awal pagi ini.

Operasi oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban bermula jam 5 petang semalam hingga 4 pagi tadi turut menahan lima individu dipercayai terbabit kegiatan samseng jalanan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisoner Mohd Yatim Osman, berkata 115 individu dan 105 kenderaan diperiksa sepanjang operasi di empat lokasi utama, iaitu Jalan Sungai Ujong, Jalan Lingkaran Tengah, Jalan Bukit Kepayang dan Jalan Rasah.

"Operasi disertai tiga pegawai dan 24 anggota polis itu menahan empat lelaki memandu di bawah pengaruh alkohol, seorang positif dadah THC dan lima dipercayai terbabit dalam samseng jalanan. Semua berusia antara 19 hingga 30 tahun.

"Hasil operasi ini juga, 78 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas dengan kesalahan tertinggi tiada lesen memandu iaitu 20 kes, diikuti lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh sebanyak 15 kes dan tiada perlindungan insurans dengan lapan kes," katanya.

Mohd Yatim berkata, kes Ops Samseng Jalanan akan disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya.

Empat pemandu mabuk pula disiasat di bawah Seksyen 45A(1) akta sama selepas kandungan alkohol melebihi had kandungan dibenarkan. Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 terhadap individu positif dadah.

Turut disita, lima motosikal di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال