KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang tampil mendedahkan 'cerita sebenar' di sebalik kemelut membabitkan Pengarah Teknikal Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), John Beasley, yang kini menjadi perhatian arena berbasikal tempatan.
Menerusi satu hantaran panjang di media sosial, Azizulhasni mendakwa usaha menjatuhkan Beasley bukanlah perkara baharu, sebaliknya dipercayai berpunca daripada konflik yang sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu.
Menurut pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu, kemelut berkenaan dikaitkan dengan dua bekas jurulatih kebangsaan yang didakwa tidak berpuas hati dengan Beasley walaupun kedua-duanya sudah lama tidak bersama program kebangsaan.
"Persoalannya kenapa dengan tiba-tiba baru keluar buat vendetta terhadap John selepas sekian lama? Itu persoalan yang perlu dirungkai," katanya.
Azizulhasni turut mendakwa salah seorang daripada bekas jurulatih terbabit pernah disingkirkan susulan isu salah laku manakala seorang lagi ditamatkan kontrak oleh majikannya atas faktor usia, namun dipercayai menyalahkan Beasley atas keputusan berkenaan.
Beliau berkata, terdapat juga perbezaan pandangan dari segi corak latihan antara pihak terbabit dan Beasley, namun menegaskan pendekatan jurulatih dari Australia itu sudah terbukti berkesan selepas membantu Malaysia melahirkan juara dunia serta pemenang pingat Olimpik.
Dalam masa sama, Azizulhasni mendedahkan satu sesi dialog membabitkan jurulatih-jurulatih negeri pernah diadakan bagi mencari penyelesaian kepada isu berkenaan, namun mendakwa perbincangan itu gagal mencapai sebarang keputusan yang konkrit.
Menurutnya, Beasley sendiri kecewa apabila sesi yang sepatutnya menjadi platform perbincangan terbuka akhirnya hanya tertumpu kepada isu perlumbaan Yayasan Sime Darby (YSD) tanpa sebarang penyelesaian dicapai.
"Townhall itu yang sepatutnya 'open discussion' untuk pelbagai topik namun pihak moderator memberitahu hanya dua perkara di bincangkan iaitu perlumbaan YSD dan Talent Identification Program (TID).
"Namun begitu selama dua jam tersebut perihal TID langsung tidak disentuh dan perbincangan hanya tertumpu kepada perlumbaan YSD kerana dua jurulatih tersebut tidak puas hati tentang perlumbaan tersebut.
"Di penghujungnya tidak ada apa-apa solusi pun yang dicapai dan seperti hanya membuang masa sahaja," katanya.
Azizulhasni turut menyatakan sokongannya terhadap Beasley bukan disebabkan hubungan sebagai bekas jurulatih semata-mata, sebaliknya kerana menghargai sumbangan besar individu itu dalam membangunkan sukan berbasikal negara selama lebih dua dekad.
Kemelut membabitkan Beasley terus menjadi perhatian selepas timbul spekulasi mengenai kedudukannya, namun PKBM Jumaat lalu mengesahkan jurulatih berpengalaman tersebut masih kekal sebagai Pengarah Teknikal dan akan terus menjalankan tugasnya sehingga satu tempoh yang akan ditetapkan.
Sumber.
Tags
Sukan

