LOS ANGELES: Di sebalik kemeriahan saingan Piala Dunia 2026 yang didominasi golongan lelaki, kehadiran Dr Suzanne Huurman mencuri tumpuan dunia apabila muncul sebagai satu-satunya ketua pegawai perubatan wanita dalam kejohanan edisi kali ini.
Nisbah 'satu wanita bersama 47 lelaki' bagi jawatan ketua perubatan pasukan mengesahkan status beliau selaku perintis, sekali gus menjadi doktor wanita ketiga dalam sejarah 96 tahun penganjuran Piala Dunia yang mengendalikan skuad bola sepak lelaki.
Dr Suzanne memikul tanggungjawab besar itu bersama pasukan kebangsaan Curacao, negara kepulauan Caribbean dengan populasi sekitar 158,000 penduduk yang melakar sejarah selaku negara terkecil pernah layak ke pusingan akhir Piala Dunia.
Sebelum ini, sejarah hanya menyaksikan dua doktor wanita beraksi di pentas tertinggi itu iaitu Dr Celeste Geertsema bersama New Zealand pada edisi 2010 di Afrika Selatan, diikuti Dr Silja Schwarz yang mengendalikan skuad kebangsaan Jerman sejak 2023.
"Pada mulanya saya tidak begitu memikirkannya kerana bagi saya menjadi satu-satunya atau antara segelintir wanita di dalam bilik (mesyuarat) adalah perkara biasa sepanjang kerjaya saya.
"Bagaimanapun, saya berharap dapat melihat lebih banyak pembabitan wanita selepas ini kerana terdapat ramai wanita di luar sana yang sangat berkualiti dan berkemampuan," katanya.
Dr Suzanne memiliki resume yang sangat dikagumi dalam dunia perubatan sukan.
Beliau pernah berkhidmat dengan kelab gergasi Eropah, Real Madrid, selain kelab Belanda seperti PSV Eindhoven dan Go Ahead Eagles serta pernah mengendalikan skuad bawah 16 tahun (B-16) lelaki Belanda.
Mengulas mengenai cabaran mengendalikan pasukan lelaki, Dr Suzanne menegaskan beliau tidak pernah berasa gentar dengan stereotaip jantina, sebaliknya meletakkan profesionalisme dan kualiti kerja sebagai keutamaan.
"Jika anda menunjukkan kepada mereka bahawa anda berkemampuan dan mahir dalam tugas anda, maka sangat mudah untuk mereka menerima kehadiran anda. Ini adalah soal kualiti dan prestasi.
"Namun, cabaran utamanya adalah untuk menembusi industri ini pada peringkat awal. Terlalu banyak pihak yang akan mempersoalkan bagaimana seorang wanita boleh bekerja dalam persekitaran lelaki," jelasnya.
Curacao melayakkan diri ke Piala Dunia 2026 dengan rekod luar biasa tanpa kalah menerusi tujuh kemenangan dan tiga keputusan seri sepanjang kempen kelayakan zon CONCACAF.
Sumber.
Tags
Sukan

