WARSAW: Seekor babi hutan berlanggar dengan sebuah kereta sorong di bandar Kraków di selatan Poland, mencederakan seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 bulan, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa), memetik polis.
Kanak-kanak itu, yang terbaring dalam kereta sorong berkenaan, terpaksa dibawa ke hospital kerana mengalami kecederaan kepala, lapor agensi berita PAP memetik kenyataan polis.
Kecederaan kanak-kanak perempuan itu bagaimanapun tidak mengancam nyawa.
Laporan awal media mengatakan seekor babi hutan yang agresif telah menyerang kereta sorong dinaiki kanak-kanak itu tanpa amaran di laluan pejalan kaki di daerah Kliny pada Khamis.
Pasukan krisis yang dikerahkan oleh pihak berkuasa bandar Kraków bertemu pada Jumaat untuk membincangkan kemungkinan langkah keselamatan.
Didapati, sekawan babi hutan dikejutkan oleh seekor anjing dan telah melarikan diri ke laluan pejalan kaki, dan kawanan itu kebetulan menyeberang jalan dengan seorang ibu yang sedang menolak kereta sorong. – BERNAMA
Tags
Berita

