DUNGUN : Seorang lelaki yang dipercayai memukul neneknya hingga parah ditahan reman lima hari bagi polis meneruskan siasatan.
Majistret, Nur Amira Fatihah Osman memberikan kebenaran tahanan reman ketika suspek yang berusia 25 tahun itu di bawa ke Mahkamah Majistret Marang, pagi ini.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Nik Ab Halim Nik Mat berkata, perintah reman itu bagi membolehkan polis menyiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana perbuatan suspek mendatangkan kecederaan parah.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 6.55 petang semalam, suspek dipercayai memukul warga emas berusia 79 tahun dengan tukul besi.
"Berikutan kejadian itu, mangsa yang dilaporkan parah dikejarkan ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan lanjut.
"Mangsa yang tinggal bersama suspek dikatakan menghalang suspek yang cuba keluar dari rumah terbabit dan berlaku pertengkaran antara mereka berdua sebelum mangsa ditolak lalu dipukul," katanya.
Ab Halim berkata, polis menahan suspek yang mempunyai kad pesakit mental dan merampas satu unit penukul besi yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Sumber.
Tags
Jenayah

