KUALA LUMPUR: Siapa sangka perjalanan yang bermula dengan merakam video cover di bilik kecil dan mengagumi muzik idola dari jauh akhirnya membawa kumpulan pop-rock tempatan, Insomniacks, berkongsi pentas dengan kumpulan yang menjadi inspirasi terbesar mereka selama lebih sedekad.
Impian yang selama ini hanya hidup dalam angan-angan akhirnya menjadi kenyataan apabila Insomniacks diumumkan sebagai artis pembuka tirai konsert 5 Seconds of Summer (5SOS) yang bakal berlangsung selama dua malam pada 17 November dan 4 Disember depan.
Bagi peminat setia, hubungan antara Insomniacks dan 5SOS bukanlah sesuatu yang baharu.
Sejak awal penubuhan, Insomniacks sering dikaitkan dengan pengaruh muzik yang dibawa kumpulan dari Australia itu. Malah, antara karya terawal yang pernah mereka tampilkan adalah lagu cover Broken Home dan Amnesia yang cukup sinonim dalam kalangan peminat mereka.
"Kalau kita lihat perjalanan mereka, karakter, persembahan pentas dan muzik yang dibawa memang ada pengaruh daripada 5SOS.
"Malah ramai peminat Insomniacks membesar dengan muzik 5SOS dan turut menjadi peminat mereka.
"Sebab itu saya rasa hubungan antara kedua-duanya sangat organik dan cukup istimewa untuk peminat di Malaysia," katanya dalam kenyataan.
Apabila ditanya mengenai lagu 5SOS yang paling sesuai diberi nafas baharu oleh Insomniacks, Sufi memilih Amnesia.
"Sudah tentu Amnesia kerana lagu itu antara karya paling ikonik 5SOS dan ramai peminat mengaitkan lagu itu dengan perjalanan awal Insomniacks," katanya.
Mengulas cabaran menghasilkan cover lagu antarabangsa yang sudah mempunyai kelompok peminat besar, Sufi berkata aspek kualiti dan penerimaan peminat perlu diberi perhatian.
"Cabaran terbesar apabila menghasilkan cover lagu artis popular adalah memastikan kualitinya mampu memenuhi jangkaan peminat.
"Apabila fanbase artis asal sangat besar, kita perlu pastikan mereka boleh menghargai dan menerima interpretasi baharu itu.
"Namun dalam kes Insomniacks, mereka melakukan tugas yang sangat baik.
"Sampai hari ini ramai masih ingat bagaimana mereka mengidolakan 5SOS dan saya rasa itu antara sebab hubungan mereka dengan peminat 5SOS begitu kuat," katanya.
Dalam masa sama, Sufi percaya karya-karya cover yang pernah dihasilkan Insomniacks boleh menjadi jambatan memperkenalkan muzik mereka ke peringkat lebih luas.
"Saya percaya peluang itu sentiasa ada," katanya.
Mengulas kemungkinan kolaborasi antara kedua-dua kumpulan pada masa depan, Sufi berharap dapat melihat Insomniacks berdiri di pentas yang sama taraf dengan idola mereka.
"Kalau kolaborasi ini menjadi kenyataan, saya mahu melihat Insomniacks berada di atas pentas yang setanding dengan 5SOS.
"Mereka mempunyai citarasa muzik yang hampir sama dan saya percaya mereka ada kemampuan untuk berdiri sebaris malah mencipta identiti lebih besar.
"Paling penting mereka berbakat, merendah diri dan jauh daripada kontroversi. Itu antara faktor yang boleh membawa mereka lebih jauh dalam industri," katanya.
Sebagai penganjur yang membawa 5SOS kembali ke Malaysia, Sufi berkata peluang membuka ruang kepada artis tempatan sentiasa menjadi antara keutamaan.
"Ini impian mereka dan mereka memang layak berada di situ," katanya.
Pada masa sama, Sufi menitipkan nasihat kepada kumpulan tempatan agar tidak kehilangan identiti ketika menjadikan artis antarabangsa sebagai inspirasi.
"Tidak salah menjadikan artis luar sebagai inspirasi dari sudut muzik dan persembahan.
"Tetapi jangan terlalu mengikut sehingga hilang identiti sendiri.
"Dalam kes Insomniacks, walaupun bermula dengan lagu cover 5SOS, mereka tetap berjaya membina identiti tersendiri.
"Hari ini orang mengenali mereka bukan sekadar kumpulan yang menyanyikan lagu 5SOS tetapi sebuah band dengan karya dan identiti sendiri," katanya.
Peluang membuka tirai konsert 5SOS bukan sahaja menjadi pencapaian terbesar buat Insomniacks setakat ini, malah simbolik kepada perjalanan hampir sedekad yang bermula sebagai peminat sebelum akhirnya berdiri di pentas sama dengan kumpulan yang menjadi inspirasi mereka.
Sumber.
Tags
Hiburan

