RIO DE JANEIRO: Kerajaan Brazil akan memperhebat tindakan terhadap pengendali pertaruhan haram dan menggunakan dana yang dirampas untuk menyokong inisiatif keselamatan awam, kata Presiden Luiz Inacio Lula da Silva pada Jumaat.
“Kami akan memerangi setiap bentuk pertaruhan haram di negara ini dengan segala cara yang ada,” kata Lula ketika menandatangani dekri yang memperkenalkan langkah-langkah baharu tersebut.
Langkah itu diambil ketika jumlah pertaruhan meningkat dengan ketara sempena Piala Dunia yang sedang berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Di bawah peraturan baharu itu, pihak berkuasa dibenarkan membekukan aset milik pengendali platform pertaruhan dalam talian yang beroperasi secara haram.
Sekiranya kesalahan disahkan melalui proses pentadbiran dan kehakiman, dana tersebut akan dipindahkan ke Dana Keselamatan Awam Kebangsaan Brazil.
Menurut kerajaan, sebahagian daripada wang itu akan digunakan untuk memerangi jenayah terancang.
Pengumuman tersebut dibuat sehari selepas pihak berkuasa melancarkan Operasi “Conto da Sorte” (“Tiket Bertuah”) yang menyasarkan rangkaian pengendali pertaruhan haram.
Siasatan itu melibatkan dakwaan pengubahan wang haram, perjudian haram dan penglibatan dalam organisasi jenayah, menurut portal berita G1 yang memetik pihak penyiasat. - BERNAMA
Tags
Jenayah

