Bentong: "Kami reda dan menganggap semuanya sudah sampai ajal mereka." Demikian luahan kakak ipar kepada salah seorang mangsa selepas empat sekeluarga maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori treler dan kereta di Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak menghala ke Bentong, semalam.
Empat mangsa yang maut dikenal pasti sebagai A Halim Hasoon, 55, isterinya, Rozita Buang, 58 , anak perempuan mereka, Norbahyah A Halim, 26, serta cucu perempuan mereka, Nayla Afya Aizat Faizal yang berusia setahun lima bulan.
Kakak ipar Rozita, Suzanna Shafii, 55, berkata, kehilangan empat ahli keluarga serentak amat mengejutkan dan menyedihkan, namun mereka menerima ketentuan Allah SWT dengan hati yang reda.
Menurutnya, kesemua mangsa menetap di FELDA Mempaga 1, Bentong, dan mempunyai hubungan yang rapat dengan ahli keluarga lain.
"Mereka memang rapat dengan semua ahli keluarga. Kali terakhir kami bertemu adalah ketika sambutan Aidiladha baru-baru ini.
"Kami tidak sempat berhubung dengan mereka sebelum kejadian berlaku. Sudah tentu kami terkejut dan sedih apabila menerima berita tragedi ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, Halim bekerja sebagai pemandu lori, manakala Norbahiyah dan Rozita adalah suri rumah.
Katanya, suami isteri itu turut meninggalkan dua lagi anak yang masih hidup, masing-masing seorang lelaki dan seorang perempuan berusia 20-an.
Menurut Suzanna, pemergian empat ahli keluarga dalam sekelip mata adalah kehilangan besar buat keluarga mereka.
"Kami hanya mampu mendoakan roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman," katanya.
Beliau berkata, jenazah keempat-empat mangsa dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mempaga 1 selepas selesai urusan bedah siasat di Sultan Haji Ahmad Shah Hospital, Temerloh.
Terdahulu, empat mangsa terbabit disahkan meninggal dunia selepas kereta yang mereka naiki dihempap sebuah lori treler membawa muatan habuk besi yang dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik di Kilometer 43
Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak menghala ke Bentong kira-kira 4.30 petang semalam.
Sumber.
Tags
Berita

