Malaysia Hot

Peluang Ecuador belum berakhir - Beccacece


KANSAS CITY, Amerika Syarikat: Jurulatih Ecuador, Sebastian Beccacece menegaskan harapan pasukannya pada Piala Dunia masih belum tertutup walaupun diikat 0-0 oleh Curacao dalam satu keputusan yang amat mengecewakan pagi tadi.

Keputusan itu menyaksikan Ecuador hanya mengumpul satu mata daripada dua perlawanan Kumpulan E selepas tewas 0-1 kepada Ivory Coast pada aksi pertama.

Mereka kini perlu meraih keputusan positif menentang pasukan gergasi Eropah, Jerman di New Jersey aal pagi Jumaat ini untuk mengekalkan peluang mara ke pusingan 32 terakhir.

"Kehidupan mengajar saya kita perlu terus bekerja, terus belajar dan cabaran boleh menjadi peluang," kata Beccacece.

"Adalah normal untuk merasai kesakitan dan kekecewaan ketika ini, tetapi ia belum berakhir lagi.

Ecuador menguasai sebahagian besar perlawanan tetapi gagal menewaskan penjaga gol Curacao, Eloy Room yang mempamerkan aksi luar biasa dengan 15 kali menyelamatkan gawangnya.

Pemain berusia 37 tahun itu dinobat sebagai pemain terbaik perlawanan selepas menggagalkan pelbagai percubaan berbahaya Ecuador yang melakukan 28 percubaan sepanjang aksi.

"Ada perkara dalam bola sepak yang sukar dijelaskan," kata pengendali dari Argentina itu.

"Apa sahaja yang saya katakan mungkin tidak membantu. Kami mahu menang tetapi gagal melakukannya. Saya yang memikul tanggungjawab itu."

Ecuador hadir ke Piala Dunia dengan rekod tanpa kalah dalam 19 perlawanan dan menamatkan kempen kelayakan Amerika Selatan di belakang juara dunia, Argentina.

Walaupun berdepan tekanan besar, Beccacece tetap mempertahankan prestasi pemainnya.

"Pasukan ini sebenarnya layak mendapat lebih daripada apa yang mereka peroleh hari ini," katanya. – REUTERS
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال