Malaysia Hot

Kadar tambang ECRL belum diumum, maklumat tular hanya spekulasi - MRL


KUALA LUMPUR: Kadar tambang perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang tular di media sosial baru-baru ini hanya spekulasi dan tidak mewakili kadar sebenar yang akan dikenakan apabila perkhidmatan itu beroperasi Januari depan. 

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dalam kenyataan memaklumkan kadar tambang perkhidmatan itu masih belum diumumkan secara rasmi sehingga kini dan sedang diperhalusi bersama pihak berkepentingan.

Menurut MRL, antara pihak yang terlibat ialah Agensi Pengangkutan Awam Darat bagi memastikan kadar tambang kekal berpatutan, kompetitif dan mesra pengguna, selaras dengan matlamat menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang berkualiti kepada rakyat.

"Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang andaian atau kesimpulan berdasarkan maklumat yang tidak disahkan," menurut kenyataan itu.

MRL memaklumkan kadar tambang rasmi akan diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan selepas proses penilaian dan kelulusan dimuktamadkan.

"Insya-Allah, kadar tambang yang ditetapkan nanti akan mengambil kira kepentingan rakyat serta memberikan nilai terbaik kepada pengguna," menurut kenyataan itu.

Jajaran ECRL sepanjang 665 kilometer akan merentasi Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Selangor di Pantai Barat Semenanjung.

Pengoperasian ECRL dijangka memendekkan masa perjalanan dengan menghubungkan Kota Bharu dan Gombak dalam tempoh empat jam berbanding sekitar tujuh jam jika menggunakan jalan raya.

Sumber.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال