KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan terhadap seorang guru agama yang dikenali sebagai "Ustaz Budak" selepas didapati bersalah melakukan serangan seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 13 tahun pada tahun 2021.
Pesuruhjaya Kehakiman, Azhar Mokhtar membuat keputusan itu selepas menolak rayuan yang difailkan oleh Syamsul Zaman Sukri terhadap sabitan dan hukuman yang sebelum ini diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Pasir Mas.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara dan sebatan itu berkuat kuasa mulai hari ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Adila Mat Zaidan, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Adha Amir Yasser Amri.
Syamsul Zaman, yang merupakan pengusaha sebuah sekolah pondok dan pendakwah bebas, pertama kali didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas pada Ogos 2021.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menyentuh kemaluan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dengan niat seksual di sebuah bilik tidur di sebuah rumah berhampiran Kampung Sat Tengah, Tanah Merah, kira-kira jam 9.45 pagi pada 3 Ogos 2021.
Ketika pertuduhan dibacakan, tertuduh mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, selepas perbicaraan, Mahkamah Sesyen mendapati Syamsul Zaman bersalah sebelum beliau mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi.
Difahamkan, lelaki berusia 38 tahun itu juga masih berdepan 12 lagi pertuduhan berkaitan kesalahan seksual dan telah mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan tersebut.

