Pemuda UMNO Negeri Sembilan menolak sekeras-kerasnya tuduhan Ketua AMK Johor bahawa UMNO menjadi punca ketidakstabilan politik sehingga membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.
Tuduhan ini bukan sahaja tidak logik dan tidak berasas, malah merupakan cubaan terdesak untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada kegagalan sebenar kerajaan Pakatan Harapan menguruskan krisis yang berlaku di Negeri Sembilan.
Hakikatnya, UMNO tidak mentadbir Negeri Sembilan.
UMNO bukan Menteri Besar.
UMNO bukan kerajaan negeri.
UMNO tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk membuat keputusan pentadbiran negeri.
Jadi bagaimana UMNO boleh dipersalahkan atas krisis yang berlaku di bawah pentadbiran Pakatan Harapan?
Apa yang berlaku hari ini adalah hasil kegagalan Menteri Besar sendiri menguruskan konflik yang melibatkan institusi adat dan pentadbiran negeri sehingga keadaan menjadi semakin kusut dan berpanjangan.
Rakyat Negeri Sembilan melihat sendiri bagaimana krisis dibiarkan berlarutan sehingga timbul pertikaian mengenai pelantikan Yang Dipertuan Besar, hubungan dengan institusi adat menjadi tegang, dan akhirnya DUN dibubarkan ketika pelbagai persoalan penting masih belum dijawab secara tuntas.
Persoalannya, bagaimana semua kegagalan pentadbiran ini boleh diletakkan di atas bahu UMNO?
Menteri Besar yang gagal mengurus krisis.
Menteri Besar yang gagal menyelesaikan konflik.
Menteri Besar yang akhirnya memilih jalan membubarkan DUN.
Tetapi UMNO pula yang mahu dipersalahkan?
Ini adalah logik politik yang langsung tidak masuk akal.
Pemuda UMNO Negeri Sembilan menggesa Pakatan Harapan berhenti mencari kambing hitam dan mula menjawab persoalan-persoalan pokok yang sedang dibangkitkan rakyat.
Rakyat tidak mahu propaganda politik.
Rakyat mahu penjelasan.
Rakyat mahu ketelusan.
Dan rakyat berhak mengetahui mengapa sebuah negeri yang sepatutnya stabil akhirnya terheret ke dalam krisis sehingga DUN terpaksa dibubarkan.
Jangan salahkan UMNO untuk menutup kegagalan sendiri. Rakyat Negeri Sembilan bijak menilai siapa yang mentadbir negeri dan siapa yang sebenarnya perlu bertanggungjawab.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan

