SEOUL: Pelakon Korea Selatan, Kang Ye-won, terkejut apabila mendapati mendiang bapanya meninggalkan hutang yang sangat besar berjumlah kira-kira 1.1 bilion won (sekitar RM3 juta).
Bintang berusia 45 tahun itu mendedahkan bahawa beliau langsung tidak mengetahui kesulitan kewangan serius yang dihadapi bapanya ketika masih hidup.
Menurut media Korea, hakikat yang menyedihkan itu hanya terbongkar selepas bapanya meninggal dunia pada 30 April.
Berkongsi pengalaman pahit tersebut dalam program realiti My Little Old Boy, Ye-won yang kelihatan amat terkesan berkata, "Saya benar-benar terkejut. Saya langsung tidak tahu apa yang sedang berlaku."
Kesedihannya bertambah apabila peguam yang menguruskan harta pusaka memaklumkan bahawa rumah keluarga mereka mungkin perlu dijual bagi melangsaikan hutang yang besar itu.
Berita tersebut amat sukar diterima kerana rumah berkenaan mempunyai nilai sentimental yang sangat tinggi buat dirinya dan keluarga.
"Itulah rumah yang didiami keluarga kami selama lebih 30 tahun, sejak saya di bangku sekolah menengah," kata Ye-won sambil menahan sebak.
"Kami hanya mempunyai rumah itu sahaja. Membayangkan ia terpaksa dijual sudah cukup menyakitkan."
Namun begitu, masih ada sedikit harapan untuk keluarganya.
Peguam tersebut menjelaskan bahawa undang-undang Korea Selatan membenarkan waris memohon prosedur khas yang melindungi mereka daripada perlu membayar hutang si mati menggunakan wang peribadi mereka sendiri.
Selain itu, sebahagian daripada liabiliti yang berkaitan secara langsung dengan syarikat milik mendiang bapanya mungkin tidak perlu ditanggung oleh keluarga yang sedang berkabung itu.
Sumber.
Tags
Hiburan

