INCHEON: Polis Korea Selatan mengesahkan kaki manusia yang ditemui di sebuah pusat kitar semula minggu lalu dibuang secara tidak sengaja oleh sebuah hospital tempatan.
Pegawai Polis Incheon Yeonsu berkata, kaki berkenaan dipotong daripada seorang pesakit wanita berusia 80-an di sebuah hospital penjagaan warga emas di Jung-gu, Incheon, lapor The Korea Harold.
Bahagian kaki berkenaan pada awalnya dikategorikan sebagai sisa perubatan. Namun, seorang pekerja pembersihan berusia 60-an membuangnya bersama sampah lain selepas menyangka ia adalah sebahagian daripada patung 'mannequin'.
Kaki itu ditemui kira-kira jam 2.28 petang pada 10 Jun lalu di Pusat Pemulihan Sumber Wilayah Selatan, sebelum polis menjalankan siasatan.
Selepas pemeriksaan, Perkhidmatan Forensik Kebangsaan (NFS) mendapati ia adalah kaki manusia dewasa dan pihak hospital memaklumkan kepada polis bahawa bahagian tubuh itu dipercayai berasal daripada fasiliti mereka.
Analisis lanjut oleh NFS kemudian mengesahkan sampel DNA daripada kaki itu sepadan dengan pesakit wanita berkenaan.
Polis mendapati kejadian itu bukan kes jenayah. Bagaimanapun, hospital terbabit masih boleh dikenakan tindakan kerana melanggar peraturan pelupusan sisa perubatan.
Mengikut undang-undang Korea Selatan, sisa perubatan perlu dibuang secara berasingan menggunakan bekas khas yang diluluskan kerajaan.
Polis kini menyiasat sama ada prosedur pelupusan sisa berkenaan dipatuhi ketika membuang anggota badan berkenaan.
Siasatan turut dijalankan bagi menentukan sama ada berlaku pelanggaran Akta Perkhidmatan Perubatan berkaitan prosedur pemotongan kaki itu.
Sebelum ini terdapat dakwaan hospital berkenaan tidak mempunyai peralatan atau kemudahan untuk menjalankan prosedur amputasi, namun polis belum mengesahkan perkara itu.
"Kami masih belum menemui peruntukan khusus berkaitan hukuman jenayah di bawah Akta Perkhidmatan Perubatan.
"Kami akan mendapatkan pandangan daripada Persatuan Perubatan Korea, Kementerian Kesihatan dan Kebajikan serta peguam sebelum membuat keputusan," kata pegawai polis.
Pegawai itu turut memaklumkan, berdasarkan keterangan keluarga mangsa, mereka mahu wanita itu dimasukkan ke hospital penjagaan warga emas selepas beberapa hospital lain menolak kemasukan berikutan keadaan kesihatannya yang semakin merosot. - AGENSI
Tags
Berita

