KUALA LUMPUR: Polis menahan enam individu, termasuk tiga warga asing berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun yang dipercayai anggota kumpulan pecah rumah dalam tiga serbuan di sekitar ibu negara pada 6 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Mohd Rosdi Daud, berkata suspek yang ditahan terdiri daripada dua lelaki warga Myanmar, seorang wanita warga Indonesia serta dua lelaki dan seorang wanita tempatan.
"Polis turut merampas pelbagai barangan antaranya enam utas jam tangan mewah, tujuh beg tangan berjenama, tujuh telefon bimbit, sebuah komputer riba permainan, sebilah parang sepanjang 25 inci dan sarung tangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Rosdi berkata, hasil semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai lapan rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
"Siasatan awal turut mendapati suspek utama warga Myanmar dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya enam lagi kes pecah rumah di sekitar Cheras," katanya.
Katanya, tangkapan itu dibuat susulan laporan polis berhubung kejadian pecah rumah di Taman Bukit Cheras pada 25 April lalu, yang membabitkan kehilangan barangan kemas, gajet serta wang tunai dalam pelbagai mata wang asing.
"Jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan melebihi RM13,000.
"Kesemua suspek direman sehingga 9 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.
Sumber.
Tags
Jenayah

