Malaysia Hot

Marissa Dania, Aslam sah bercerai


KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial, Marissa Dania Hakim, 21, dan Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid disahkan bukan lagi suami isteri selepas Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur hari ini memutuskan berhubung prosiding pengesahan lafaz cerai dan rujuk di hadapan Hakim Syarie, Nadiah Khamis.

Peguam syarie mewakili Aslam, Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri berkata, secara ringkas keputusan mahkamah hari ini menetapkan kedua-dua pihak tidak lagi mempunyai hubungan sebagai suami isteri.

"Hari ini mahkamah membuat keputusan berhubung terjatuhnya talak.

"Mahkamah mempunyai beberapa terma keputusan, tetapi secara ringkasnya pihak-pihak bukan lagi suami isteri.

"Buat masa ini, tiada lagi hubungan suami isteri antara Aslam dan Marissa. Sekiranya mereka ingin kembali bersama sebagai pasangan suami isteri, mereka perlu melalui akad nikah yang baharu," katanya ketika ditemui selepas selesai prosiding di perkarangan mahkamah, di sini.

Ditanya mengenai reaksi Marissa selepas keputusan dibacakan, Muhammad Ammar berkata anak kepada pasangan selebriti Abby Abadi dan Norman Hakim itu dilihat menerima keputusan berkenaan dengan terbuka.

Menurutnya, tiada momen bersalaman atau bermaafan berlaku di dalam dewan bicara.

"Mungkin mereka reda dengan keputusan hari ini. Dari awal termasuk malam tadi lagi, saya sudah memaklumkan kepada kedua-dua pihak supaya bersedia menerima apa juga keputusan mahkamah dengan hati terbuka.

"Dalam mengendalikan kes dan berhujah di mahkamah, apa yang penting adalah kepatuhan kepada undang-undang dan hukum syarak.

"Apabila keputusan dibuat, mereka menghormati dan menerima apa yang diputuskan oleh mahkamah," katanya.

Sebelum ini, Muhammad Ammar dilaporkan berkata anak guamnya memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai dan rujuk pada 10 Mac lalu.

Menurutnya, Aslam didakwa pernah melafazkan cerai terhadap Marissa sebanyak dua kali sebelum kedua-duanya dilaporkan kembali rujuk.

Lafaz pertama didakwa berlaku pada September 2024 sebelum pasangan itu dilaporkan kembali rujuk pada bulan sama.

Lafaz kedua pula didakwa berlaku pada April tahun lalu dan pasangan itu difahamkan kembali rujuk dua bulan kemudian.

Sumber.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال