PHILADELPHIA: Kylian Mbappe menegaskan dia tidak terlalu memberi perhatian kepada rekod jaringan Piala Dunia selepas menjaringkan dua lagi gol pada malam yang disifatkannya meletihkan di Philadelphia.
Mbappe meledak dua jaringan ketika membantu Perancis menewaskan Iraq 3-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan I yang tertangguh selama dua jam akibat cuaca buruk.
Jaringan Mbappe hadir dalam kedua-dua babak ketika dia tampil buat kali ke-100 bersama skuad kebangsaan, manakala satu lagi disumbangkan Ousmane Demble.
"Ia adalah malam yang sangat panjang. Secara emosi ia sangat sukar kerana kami perlu kekal fokus di bilik persalinan hampir dua jam. Itu sangat sukar dan sangat mencabar," kata Mbappe.
Mbappe turut meledak dua gol ketika menewaskan Senegal 3-1 dalam aksi pertama dan dia kini mengumpul tujuh jaringan dalam tiga perlawanan Piala Dunia terakhir, termasuk hatrik dalam final 2022 menentang Argentina.
Mbappe ketika ini memiliki 16 gol Piala Dunia, menyamai rekod jaringan sepanjang zaman sebelum kejohanan yang dipegang Miroslav Klose dari Jerman.
Lionel Messi yang juga bekas rakan sepasukan Mbappe di Paris Saint-Germain bagaimanapun memecahkan rekod itu lebih awal selepas meledak dua gol dalam kemenangan 2-0 Argentina ke atas Austria, sekali gus menetapkan rekod baharu kepada 18 gol.
"Leo sentiasa menjaringkan gol dan akan sentiasa begitu. Jadi saya tidak melihat apa yang dia lakukan, saya hanya fokus membantu pasukan," kata Mbappe.
"Saya sentiasa menjaringkan gol di Piala Dunia, tetapi keutamaan adalah untuk berada pada tahap terbaik sebagai satu pasukan. Anda perlu menewaskan pasukan terbaik untuk memenangi Piala Dunia, jadi ia akan menjadi sangat sukar."
Mbappe sudah mengumpul 60 gol untuk skuad negaranya, selepas memintas rekod milik Olivier Giroud yang berjumlah 57 gol ketika menentang Senegal.
Sumber.
Tags
Sukan

