Malaysia Hot

'Tulisan diari Zara Qairina dikoyakkan, ada individu tokok tambah tulisan diarinya guna pen lain' - Pakar tulisan tangan


KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu, ratusan halaman dikeluarkan daripada sebuah diari yang dikaitkan dengan Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Pemeriksa dokumen forensik dan pakar tulisan tangan bertauliah, Dr Linthini Gannetion, berkata dokumen yang ditandakan sebagai Y1 hingga Y15 disahkan berasal daripada buku berkulit PVC hijau bertulis 'Love and Peace' yang dirujuk sebagai WK9 dan helaian itu dikoyakkan daripada buku terbabit.

Saksi pendakwaan ke-74 itu berkata, hasil pemeriksaannya mendapati sebuah buku rujukan baharu 'Love and Peace' daripada jenis sama mengandungi 228 halaman bergaris, manakala WK9 hanya mempunyai 106 halaman bergaris.

"Ini menunjukkan sejumlah besar halaman sudah dikeluarkan daripada WK9 sebelum pemeriksaan dijalankan.

"Saya juga mendapati cara koyakan pada dokumen Y1 hingga Y15 adalah berbeza-beza dan tidak menunjukkan satu corak koyakan seragam.

Zara Qairina, 13, ditemukan tidak sedarkan diri di tingkat bawah asramanya sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025.

Kematiannya yang didakwa membabitkan unsur buli mencetuskan desakan di seluruh negara supaya langkah membanteras buli diperkukuh dan meningkatkan tahap akauntabiliti.

Pada 20 Ogos 2025, lima remaja bawah umur yang hanya dikenali sebagai pelajar A, B, C, D dan E didakwa kerana menggunakan kata-kata menghina terhadap Zara.

Mereka mengaku tidak bersalah dan kes itu masih dalam perbicaraan di Mahkamah Kanak-Kanak.

Linthini berkata, pemeriksaannya turut bertujuan menentukan sama ada terdapat tanda pengubahan atau gangguan tanpa kebenaran terhadap kandungan Y1 hingga Y15.

"Berdasarkan pemerhatian saya, penanggalan halaman, perbezaan jenis dakwat pada bahagian tertentu, kewujudan tulisan yang dipadamkan dan perbezaan corak tarikh pada beberapa halaman menunjukkan unsur gangguan terhadap Y1 hingga Y15 tidak dapat diketepikan secara muktamad," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan menggunakan pencahayaan serong mendedahkan corak lekukan tulisan pada beberapa halaman yang tidak sepadan dengan tulisan pada halaman sebelumnya.

"Ini menunjukkan kemungkinan halaman asal yang menghasilkan lekukan terbabit sudah dikeluarkan," katanya sambil menjelaskan kaedah pencahayaan serong hanyalah kaedah saringan awal dan pemeriksaan yang lebih tepat terhadap tulisan berlekuk boleh dilakukan menggunakan Alat Pengesan Elektrostatik (ESDA).

Bagaimanapun, pemeriksaan ESDA tidak dapat dijalankan kerana bahan bukti tidak dapat dibawa ke makmal.

Linthini turut memberi keterangan bahawa berdasarkan tulisan berbentuk diari yang diketahui milik Zara Qairina dan diperiksa, mangsa lazimnya tidak menulis tarikh secara konsisten pada catatan diarinya.

"Namun, bagi set Y1 hingga Y15, hampir semua halaman mempunyai tarikh kecuali Y8B dan Y13B. 

"Keadaan ini tidak selaras dengan tabiat penulisan diari Zara Qairina berdasarkan bahan yang tersedia," katanya.

Linthini turut mendapati penggunaan pen berbeza pada beberapa bahagian, termasuk Y10B, yang menunjukkan beberapa butiran mungkin ditambah pada masa berlainan.

Katanya, pada Y4B, perkataan 'hallenge' dalam perkataan 'challenge' ditulis menggunakan pensil, manakala bahagian lain ditulis menggunakan pen.

Beliau juga mendapati perkataan 'tauddin' dalam nama 'Retauddin' dipercayai ditambah kemudian menggunakan pen berbeza.

Bagi Y13A, Linthini berkata, terdapat tulisan dipadamkan, termasuk perkataan 'Jala imut' dan dua baris ayat yang menyebut nama 'Alysha'.

"Frasa 'Jala imut' tidak konsisten dengan ciri tulisan tangan Zara Qairina dan menunjukkan ia ditulis individu lain," katanya.

Linthini berkata, beliau tidak dapat membuat kesimpulan mengenai penulis sebenar bagi Y1A, Y1B, Y2A, Y2B, Y3A, Y3B, Y4A, Y4B, Y5A, Y5B, Y6A, Y6B, Y7A, Y7B, Y8A, Y9A, Y9B dan Y10A kerana ketiadaan sampel tulisan tangan yang dihasilkan dalam tempoh masa sama.

Katanya, sebahagian sampel tulisan tangan yang ada adalah tulisan formal seperti dalam buku latihan sekolah, bukannya tulisan tidak formal berbentuk diari, sekali gus mengehadkan keupayaan untuk membuat perbandingan lebih ideal.

Bagaimanapun, Linthini berkata, tulisan pada Y10B, Y11A, Y11B, Y12A, Y12B, Y13A, Y13B, Y14A, Y14B, Y15A dan Y15B menunjukkan persamaan ketara dengan tulisan tangan Zara Qairina antara Februari 2025 hingga pertengahan April 2025.

Beliau berpendapat, tulisan pada halaman berkenaan ditulis Zara Qairina.

Sumber.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال