SUNGAI BULOH: Kematian pelajar latihan industri dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di Kolam Menara Saujana Perdana di Bandar Saujana Perdana, di sini pada 16 Jun lalu disahkan akibat lemas.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata siasatan awal dan bedah siasat polis kini mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut (SDR).
"Mayat mangsa sebelum ini dihantar ke Unit Forensik Hospital Al Sultan Abdullah (HASA) di Puncak Alam untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian sebelum keputusan rasmi diperoleh.
"Sehubungan itu, orang ramai diingatkan tidak menyebarkan sebarang khabar angin yang boleh menimbulkan keresahan masyarakat atau mengganggu siasatan polis," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas kejadian berkenaan, Mohd Hafiz berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 11.53 pagi dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membantu mengeluarkan mangsa dari kolam takungan air terbabit.
"Kematian mangsa, Muhammad Adam Danish Mohd Anuar, 23, kemudiannya disahkan Pembantu Perubatan HASA," katanya.
Sumber.
Tags
Berita

