KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan beberapa akaun bank yang dipercayai digunakan sebagai akaun keldai (mule account) dalam kes penipuan penjualan tiket konsert kumpulan K-pop terkenal Korea Selatan, BTS, yang dijadual berlangsung pada Disember ini.
Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata siasatan masih dijalankan dan beberapa akaun bank telah dikenal pasti setakat ini.
“Kami mengesyaki akaun-akaun ini digunakan oleh sindiket untuk menerima bayaran daripada mangsa.
“Ada kemungkinan akaun bank tersebut merupakan akaun keldai,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Konsert BTS World Tour ‘Arirang’ di Kuala Lumpur dijadualkan berlangsung pada 12 dan 13 Disember.
Kumpulan tujuh anggota dari Korea Selatan itu sebelum ini berjaya menjual habis tiket di lokasi-lokasi utama seperti Wembley Stadium di London dan Rose Bowl di Pasadena, California.
Sebelum ini, Hoo berkata kesemua 28 laporan polis yang diterima sedang disiasat dan menggesa peminat supaya membeli tiket hanya melalui saluran rasmi yang disediakan oleh penganjur konsert.
Polis percaya mangsa diperdaya melalui iklan di media sosial dan tawaran daripada ejen tidak sah yang mendakwa mempunyai akses kepada tiket diskaun atau tempat duduk yang telah habis dijual.
Amaran itu dikeluarkan susulan permintaan yang sangat tinggi terhadap tiket konsert BTS, yang habis dijual tidak lama selepas jualan dibuka, sekali gus memberi peluang kepada penipu untuk menyasarkan peminat yang mencari alternatif bagi mendapatkan tiket.
Dalam satu kes yang dilaporkan, seorang peminat tempatan didakwa mengalami kerugian sebanyak RM3,000 selepas berurusan dengan penjual semula tiket di media sosial. Mangsa membuat beberapa pembayaran sebelum penjual tersebut menghilangkan diri, memadam rekod perbualan dan menukar nama pengguna akaunnya.
Polis menasihatkan orang ramai supaya menyemak kesahihan penjual tiket, mengelakkan pembayaran kepada individu yang tidak dikenali dan menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 sekiranya mengesyaki berlaku penipuan.
Sumber.
Tags
Hiburan

