Pelakon terkenal Hollywood, Zendaya dan Tom Holland, sekali lagi mencuri perhatian apabila tampil bersama untuk mempromosikan filem terbaharu mereka, Spider-Man: Brand New Day, di Sepanyol.
Kemunculan itu berlaku kira-kira tiga bulan selepas timbul laporan bahawa pasangan tersebut telah berkahwin, seperti didedahkan oleh penata gaya lama Zendaya, Law Roach.
Sebelum ini, Holland pernah menjelaskan mengapa mereka jarang menghadiri acara karpet merah bersama.
“Jika kami pergi bersama, tumpuan akan terarah kepada kami. Itu bukan saat saya, tetapi saat dia,” katanya kepada Men’s Health tahun lalu ketika menjelaskan mengapa dia lebih gemar menghadiri tayangan perdana projek Zendaya secara peribadi.
Walaupun terkenal sebagai pasangan yang sangat menjaga privasi, mereka sesekali berkongsi sedikit tentang hubungan mereka kepada umum.
Zendaya sebelum ini menyatakan bahawa mereka tidak akan mengesahkan atau menafikan khabar angin mengenai perkahwinan mereka, yang mula dilaporkan pada Mac lalu. Namun, beliau pernah berkongsi bagaimana dia menyedari bahawa Holland adalah insan yang tepat untuk dirinya.
Pada sesi fotografi promosi tersebut, Holland mengenakan kemeja merah sebagai penghormatan kepada watak adiwira Spider-Man, dipadankan dengan pakaian serba hitam.
Zendaya pula tampil anggun dengan gaya rambut bob baharu yang disisir kemas ke belakang serta mengenakan gaun mini hitam berleher sweetheart dan perincian rumbai yang menyerupai corak sarang labah-labah.
Pasangan yang jarang berkongsi momen romantis di khalayak itu turut memperlihatkan kemesraan mereka ketika sesi fotografi, termasuk berpegangan tangan dan bergurau sesama sendiri sebelum bergambar di hadapan media.
Zendaya dan Holland dijangka akan membuat lebih banyak penampilan bersama dalam masa terdekat memandangkan Spider-Man: Brand New Day bakal ditayangkan bulan depan. Mereka juga sama-sama membintangi filem baharu arahan Christopher Nolan, The Odyssey.
Namun begitu, Holland sebelum ini menegaskan bahawa mereka memilih untuk tidak terlalu kerap tampil bersama di acara awam demi menjaga privasi hubungan mereka.
Tags
Hiburan

