KUALA LUMPUR: Permohonan semakan kehakiman oleh keluarga mendiang Altantuya Shaariibuu supaya polis menyiasat afidavit tambahan dan akuan bersumpah bekas pegawai polis yang terbabit dalam kes pembunuhan model Mongolia itu, akan didengar di Mahkamah Tinggi pada 6 Oktober ini.
Menurut peguam Sangeet Kaur yang mewakili bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev ketika dihubungi media hari ini, pendengaran kes berkenaan akan didengar di hadapan Hakim Norliza Othman.
Pada 16 Oktober 2025, Hakim Datuk Aliza Sulaiman (kini hakim Mahkamah Rayuan) membenarkan Shaariibuu memulakan prosiding semakan kehakiman selepas mahkamah diberitahu bahawa Peguam Negara tidak membantah permohonan itu.
Dalam permohonan semakan kehakiman terbabit, Shaariibuu menamakan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia, Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Shaariibuu memohon perisytiharan, keputusan kesemua responden yang tidak memaklumkan kepadanya status siasatan terkini dijalankan pada 2019 oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman terhadap kandungan afidavit tambahan dan akuan bersumpah diikrarkan bekas pegawai Unit Tindakan Khas (UTK) Cif Inspektor Azilah Hadri, bertentangan dengan undang-undang.
Kedua-dua dokumen antara lain mengandungi pernyataan Azilah bahawa dia mendapat arahan daripada 'pihak atasan' untuk menjalankan 'operasi sulit' bagi 'membunuh dan menghapuskan si mati'.
Shaariibuu selaku pemohon berkata sekiranya siasatan terhadap afidavit tambahan dan akuan bersumpah itu masih berjalan, beliau memohon perintah mandamus supaya siasatan dilengkapkan dalam tempoh sebulan dari tarikh perintah mahkamah.
Turut dimohon, perintah mandamus supaya kesemua responden memaklumkan secara terperinci status terkini siasatan yang dijalankan oleh responden kedua (Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman) terhadap kandungan kedua-dua dokumen dalam tempoh tujuh hari dari tarikh keputusan mahkamah.
Shaariibuu juga berkata, jika kesemua responden memutuskan untuk mengklasifikasikan kertas siasatan sebagai 'Tiada Tindakan Lanjut,' beliau mahukan alasan mengapa tindakan itu diambil.
Pada 10 Oktober 2024, Mahkamah Persekutuan menggantikan hukuman mati terhadap Azilah dengan pemenjaraan selama 40 tahun dan 12 sebatan bagi kesalahan membunuh Altantuya selepas membenarkan permohonan semakan yang difailkan oleh bekas pegawai itu.
Sumber.
Tags
Berita

