Malaysia Hot

RCI TH: Menteri Agama Berbohong?




Datuk Mohd Kurniawan Naim Moktar mempersoalkan ketepatan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berhubung hubungan antara Tabung Haji dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Isunya bukan soal perbezaan tafsiran politik semata-mata. Ia menyentuh satu perkara yang jauh lebih serius iaitu adakah kenyataan Menteri di Dewan selari dengan rekod rasmi Bank Negara?

Menteri sebelum itu didakwa menyatakan bahawa Tabung Haji pernah tidak mengendahkan teguran atau amaran BNM. Mohd Kurniawan bagaimanapun merujuk kepada kenyataan rasmi Bank Negara bertarikh 26 Januari 2016 yang, menurut beliau, memberikan gambaran berbeza.

Dalam kenyataan tersebut, BNM menyebut bahawa Tabung Haji telah “proactively taken appropriate measures to further strengthen its risk management practices”.

Maksudnya jelas bahawa Bank Negara sendiri merekodkan bahawa Tabung Haji telah mengambil langkah secara proaktif untuk memperkukuh amalan pengurusan risikonya.

Malah, tindakan itu bukan digambarkan sebagai sesuatu yang berlaku tanpa kaitan dengan Bank Negara. Sebaliknya, ia disebut dalam konteks engagement terdahulu antara kedua-dua institusi.

BNM turut menyatakan bahawa langkah-langkah tersebut akan membantu memperkukuh kedudukan kewangan Tabung Haji supaya terus mampan dan sihat.

Jika rekod rasmi Bank Negara menunjukkan Tabung Haji mengambil tindakan susulan terhadap engagement dan perkara yang dibangkitkan, atas asas apakah Menteri mendakwa Tabung Haji tidak mengendahkan teguran BNM?

Persoalan itu perlu dijawab dengan dokumen, bukan retorik.

Dalam Dewan Rakyat, seorang Menteri tidak boleh sekadar memberikan gambaran yang kuat dari sudut politik jika rekod rasmi sebuah institusi negara menunjukkan sesuatu yang berbeza.

Jika Menteri mempunyai dokumen yang membuktikan Tabung Haji benar-benar mengabaikan teguran Bank Negara, bentangkan kepada Dewan.

Nyatakan teguran yang mana.

Bilakah teguran itu diberikan?

Apakah tindakan yang sepatutnya diambil oleh Tabung Haji tetapi tidak dilaksanakan?

Dan bagaimana dakwaan itu hendak diselaraskan dengan kenyataan rasmi BNM pada 26 Januari 2016?

Itulah standard yang sewajarnya digunakan dalam isu sebesar ini.

Mohd Kurniawan menegaskan bahawa sekiranya kenyataan Menteri bercanggah dengan rekod rasmi Bank Negara, perkara tersebut tidak boleh dianggap sebagai kesilapan kecil atau sekadar perbezaan pandangan.

Dewan Rakyat mempunyai maruah dan tatacaranya sendiri. Menteri yang bercakap di dalam Dewan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan fakta yang dibentangkan boleh dipertahankan.

Lebih-lebih lagi apabila perkara itu melibatkan Tabung Haji, sebuah institusi yang memegang amanah simpanan jutaan umat Islam.

Atas sebab itu, Mohd Kurniawan mengambil pendirian lebih keras.

Beliau mencadangkan bahawa sekiranya Menteri gagal membuktikan dakwaannya dan sekiranya didapati maklumat tidak benar diberikan secara sengaja kepada Dewan, Menteri wajar dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Cadangan itu bukan bermaksud Menteri telah dibuktikan menipu.

Sebaliknya, ia membawa satu prinsip penting, jika terdapat percanggahan fakta yang serius antara kenyataan seorang Menteri dan rekod rasmi sebuah institusi negara, Parlimen sendiri mempunyai tanggungjawab untuk menelitinya.

Dalam Dewan Rakyat, Menteri tidak boleh berlindung di sebalik retorik. Jika dokumen rasmi BNM berkata lain, maka Menteri wajib memilih satu daripada dua perkara iaitu samada kemukakan bukti yang menafikan rekod itu atau perbetulkan kenyataannya.

RCI Tabung Haji juga tidak seharusnya bertukar menjadi medan untuk membina kesimpulan terlebih dahulu sebelum semua fakta diperiksa.

RCI sepatutnya membezakan antara kelemahan tadbir urus, kegagalan pengurusan, kesalahan individu dan tuduhan politik.

Jika dokumen rasmi Bank Negara menunjukkan Tabung Haji mengambil langkah penambahbaikan, rekod itu tidak boleh diketepikan hanya kerana ia tidak selari dengan naratif yang mahu dibina hari ini.

Pendeposit Tabung Haji berhak mengetahui kebenaran, bukan sekadar mendengar siapa paling kuat menuduh.

Soalnya kini bukan lagi sama ada Tabung Haji pernah ditegur BNM. Soalnya, adakah Menteri telah memberikan gambaran yang benar kepada Dewan?

Jika ya, bentangkan buktinya.

Jika tidak, Parlimen sendiri wajib bertindak.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال