ARLINGTON, Amerika Syarikat: Lionel Messi mengakui dia berasa kecewa selepas mensia-siakan peluang sepakan penalti walaupun berjaya mencipta rekod sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia ketika Argentina menewaskan Austria 2-0 untuk mara ke pusingan 32 terakhir.
Bintang Inter Miami itu menyertai perlawanan dengan kedudukan terikat bersama Miroslav Klose dengan 16 gol, namun dia menambah dua lagi jaringan untuk menjadikan jumlah keseluruhan 18 gol pada pusingan akhir Piala Dunia.
Bagaimanapun, Messi berkata dia sepatutnya boleh mencipta hatrik sekiranya tidak gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit kesembilan.
"Terdapat saat saya benar-benar marah kerana gagal menjaringkan penalti, tetapi saya berjaya menebusnya," kata Messi.
"Saya tahu ia tidak mudah. Corak permainan di Piala Dunia ini sangat seimbang. Tiada siapa memberi ruang.
"Selain daripada itu, saya amat gembira dengan kemenangan ini. Ia besar, sukar dan mencabar. Ia memberi kami ketenangan untuk apa yang akan datang.
Legenda Jerman, Klose turut memuji Messi selepas rekod lamanya diatasi pemain Argentina itu.
Klose berkata sebelum ini sudah menjangka rekod itu akan dipintas.
"Itu tidak mengapa, rekod itu pasti akan dipecahkan juga dan Messi memang layak melakukannya. Saya peminat besar Messi, sentiasa begitu," kata Klose.
"Saya selalu berkata Messi bukanlah pemain yang 'biasa-biasa'. Bagi saya, dia pemain bola sepak terbaik sepanjang zaman. Tahniah juara!"
Selain menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia, Messi turut memegang rekod penampilan terbanyak (28 perlawanan), kemenangan terbanyak (18 kemenangan) dan minit permainan terbanyak (2,489 minit).
Perlawanan itu juga merupakan perlawanan Piala Dunia keenam berturut-turut yang mana Messi menjaringkan gol, menyamai rekod Just Fontaine dan Jairzinho. – AGENSI
Tags
Sukan

