PUTRAJAYA: Kerajaan sedang menjalankan satu kajian khas bagi membangunkan mekanisme perlindungan yang lebih komprehensif untuk mangsa jenayah siber, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato Sri Azalina Othman Said.
Beliau berkata, kajian yang dilaksanakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) itu akan meneliti langkah-langkah bagi membantu mangsa penipuan dalam talian mendapatkan semula wang yang hilang, selain mengkaji kemungkinan memperkenalkan hukuman yang lebih tegas terhadap pesalah.
Menurut beliau, BHEUU turut akan meneliti amalan terbaik yang dilaksanakan di negara lain dalam melindungi hak mangsa serta menilai kesesuaiannya untuk dilaksanakan di Malaysia.
“BHEUU sedang menjalankan kajian menyeluruh berkaitan isu melibatkan mangsa, termasuk jenayah siber, ancaman dalam talian dan kesalahan digital.
“Sesetengah negara mempunyai pendekatan yang berbeza. Sebagai contoh, di Singapura, pesalah boleh dikenakan hukuman sebat sebagai sebahagian daripada hukuman. Di Malaysia pula, hukuman sedia ada melibatkan denda dan pemenjaraan. Perkara ini akan kita kaji,” katanya pada sidang media selepas menghadiri National Cyber Security Summit (NCSS) 2026 di sini.
Azalina berkata, kerangka perundangan sedia ada di Malaysia ketika ini lebih tertumpu kepada pendakwaan terhadap pesalah di bawah undang-undang seperti Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah, manakala aspek perlindungan terhadap mangsa masih memerlukan penelitian dan penambahbaikan.
“Kita mahu mengkaji pendekatan yang diamalkan oleh negara lain, termasuk jenis hukuman yang dikenakan serta mekanisme yang disediakan untuk membantu mangsa.
“Pada masa ini, mangsa kebiasaannya hanya mempunyai pilihan untuk membuat laporan. Dalam banyak kes, mereka tidak berjaya mendapatkan semula wang yang telah hilang,” katanya.
Beliau berkata, antara mekanisme yang akan diteliti ialah pendekatan yang diamalkan di United Kingdom dan Australia, di mana mangsa penipuan dalam talian boleh menerima bayaran balik daripada institusi kewangan dalam keadaan tertentu.
“Di United Kingdom dan Australia, apabila seseorang menjadi mangsa penipuan dalam talian, bank yang terlibat boleh memulangkan semula wang mangsa mengikut syarat-syarat tertentu.
“Di Malaysia, Bank Negara Malaysia masih belum membuat keputusan mengenai mekanisme seumpama itu, namun perkara ini sedang dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada kajian yang dijalankan,” katanya.
Beliau menambah, tempoh masa untuk menyiapkan kajian berkenaan masih belum ditetapkan.
Tags
Berita

