Malaysia Hot

Glasgow 2026: Nicodemus terlepas podium, Bryan gagal ketiga-tiga angkatan


GLASGOW: Atlet para powerlifting negara Nicodemus Manggoi Moses terlepas peluang meraih pingat selepas menamatkan saingan di tempat keempat dalam kategori heavyweight lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 di sini, malam ini (awal pagi Sabtu waktu Malaysia).

Nicodemus mencatat angkatan terbaik 200 kilogram (kg) untuk mengumpul 120.3 mata pada aksi akhir di Scottish Event Campus (SEC) Armadillo.

Atlet Nigeria Riluwan Idris meraih pingat emas selepas mengumpul 132.8 mata menerusi angkatan terbaik 208kg, manakala wakil England Matthew Harding memenangi perak dengan angkatan 199kg untuk mengumpul 131.0 mata, sementara atlet India Jhandu Kumar meraih gangsa selepas mencatat angkatan terbaik 190kg yang memberikannya 130.9 mata.

Sementara itu, Bryan Junency Gustin, abang kepada jaguh para powerlifting negara Bonnie Bunyau, gagal mencatat sebarang angkatan selepas ketiga-tiga percubaannya pada bebanan 196kg, 196kg dan 201kg tidak disahkan.

Terdahulu, Bonnie gagal mempertahankan gelaran kategori lightweight lelaki selepas sekadar meraih pingat gangsa.

Pertandingan para powerlifting yang berlangsung selama sehari itu berakhir semalam.

Dalam acara para powerlifting Sukan Komanwel, atlet dibahagikan mengikut jantina kepada kategori lightweight dan heavyweight, dengan kedudukan pingat ditentukan berdasarkan sistem mata yang mengambil kira angkatan terbaik yang berjaya dilakukan serta berat badan atlet.

-- BERNAMA
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال