Malaysia Hot

Anwar Menjerit “Tabung Haji Disakau” Di Negeri Sembilan


Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih perkataan yang sangat berat ketika berkempen di Ampangan pada 22 Julai 2026 iaitu wang Tabung Haji kononnya telah “disakau”.

Ucapan itu membina gambaran seolah-olah berbilion ringgit simpanan pendeposit telah dicuri dan pelakunya sudah dikenal pasti. Namun kerajaan sehingga kini belum menamakan atau mendakwa sesiapa atas kesalahan merompak berbilion ringgit daripada Tabung Haji seperti yang digambarkan di pentas politik.

Lebih menghairankan, selepas ucapan tersebut, Anwar sendiri berkata beliau tidak boleh menyifatkan apa yang berlaku sebagai rasuah, walaupun mendakwa terdapat pelanggaran peraturan dan penyalahgunaan besar. Di sinilah timbul persoalan tentang kejujuran naratifnya. Mengapa di pentas kempen perkataan “sakau” digunakan dengan begitu yakin tetapi apabila diminta bertanggungjawab terhadap dakwaan itu, bahasanya berubah kepada pelanggaran yang belum dapat dilabel sebagai rasuah?

Jika benar wang pendeposit dicuri, tangkap dan dakwa pelakunya. Jangan jatuhkan hukuman melalui ceramah, kemudian berlindung di sebalik laporan yang masih belum dibentangkan sepenuhnya kepada rakyat.

Selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan pada 2018, aset Tabung Haji yang dianggap tidak berprestasi dipindahkan kepada Urusharta Jamaah Sdn. Bhd., sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan.

Urusharta Jamaah mengambil alih aset Tabung Haji bernilai kira-kira RM10 bilion dan sebagai balasan menerbitkan instrumen bernilai RM19.9 bilion, termasuk dua siri sukuk serta suntikan tunai RM300 juta. Langkah tersebut memperbaiki kedudukan buku akaun Tabung Haji dan membuka ruang untuk agihan keuntungan diumumkan semula.

Penyelesaian itu kelihatan cantik pada kertas. Namun masalah asasnya tidak lenyap. Beban tersebut hanya berubah bentuk—daripada aset bermasalah dalam akaun Tabung Haji kepada obligasi kewangan jangka panjang Urusharta Jamaah terhadap institusi itu.

Sukuk siri pertama bernilai kira-kira RM12.5 bilion matang pada 29 Mei 2026. Namun ia tidak diselesaikan sepenuhnya secara tunai.

Sebahagian besarnya digantikan dengan sukuk baharu bernilai kira-kira RM11.5 bilion, berkadar keuntungan 3.825 peratus setahun dan hanya matang pada 29 Mei 2036. Baki sekitar RM965 juta diselesaikan melalui pemindahan tanah di Tun Razak Exchange dan aset perladangan di Sarawak.

Pada masa sama, sukuk siri kedua bernilai RM14.35 bilion dengan kadar keuntungan 4.1 peratus hanya matang pada 2029. Ini bermakna obligasi yang masih terikat dalam dua instrumen tersebut berjumlah kira-kira RM25.85 bilion—RM14.35 bilion sehingga 2029 dan sekitar RM11.5 bilion sehingga 2036.

Kerajaan boleh menamakannya penstrukturan, pemulihan atau penyelesaian. Namun pendeposit berhak bertanya: apabila hutang yang telah matang digantikan dengan hutang baharu selama 10 tahun, adakah wang itu benar-benar sudah dikembalikan?

Pada September 2023, Anwar mengumumkan bahawa Kementerian Kewangan akan memulakan proses untuk memulangkan semua aset Tabung Haji yang diletakkan di bawah syarikat tujuan khas milik MOF. Beliau juga memberikan jaminan bahawa aset berkenaan akan diserahkan semula secara berperingkat setelah kedudukan Tabung Haji dipulihkan.

Hampir tiga tahun kemudian, berkaitan sukuk yang matang pada Mei 2026, aset yang dipindahkan kembali hanyalah tanah TRX dan aset perladangan bernilai sekitar RM965 juta. Sebahagian terbesar obligasi itu pula digulung semula sehingga 2036.

Anwar perlu menjelaskan maksud sebenar “semua aset akan dikembalikan”. Adakah aset fizikal akan dipulangkan, hutang dibayar secara tunai atau satu kertas hutang sekadar digantikan dengan kertas hutang yang baharu?

Tabung Haji mengumumkan agihan keuntungan 3.50 peratus bagi tahun kewangan 2025, meningkat daripada 3.25 peratus pada 2024. Peningkatan tersebut wajar diakui. Namun pendeposit tetap berhak bertanya sama ada puluhan bilion ringgit yang terikat pada pulangan tetap sekitar 3.825 hingga 4.1 peratus mengehadkan ruang Tabung Haji memperoleh pulangan lebih tinggi.

Pada masa sama, bayaran haji yang perlu disediakan rakyat semakin besar. Bagi musim haji 2026, golongan B40 perlu membayar RM15,000, M40 sebanyak RM23,500, manakala T20 membayar kos penuh RM33,300. Tabung Haji sendiri menganggarkan bantuan kewangan haji sebanyak RM210 juta diperlukan bagi musim tersebut.

Peningkatan kos penginapan, penerbangan, pertukaran mata wang dan perkhidmatan di Arab Saudi sememangnya perlu diambil kira. Namun faktor luar tidak boleh dijadikan jawapan tunggal sedangkan struktur kewangan yang diwujudkan selepas 2018 masih mengikat puluhan bilion ringgit sehingga 2036.

Jika seseorang mendakwa sesuatu makanan mengandungi babi, masyarakat akan meminta sijil halal, keputusan makmal dan bukti pihak berkuasa. Tidak memadai seorang ahli politik berdiri di atas pentas lalu menjatuhkan hukum.

Standard yang sama mesti digunakan apabila Tabung Haji dituduh “disakau”.

Terbitkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja. Nyatakan transaksi yang melanggar peraturan, jumlah kerugian sebenar, individu yang bertanggungjawab dan tindakan undang-undang yang disyorkan. Kerajaan sendiri menyatakan laporan berkenaan akan dibuka kepada umum, maka tiada alasan untuk terus membiarkan pendeposit meneka.

Anwar tidak boleh terus menuduh pihak lain menyakau Tabung Haji sedangkan kerajaan yang dipimpinnya masih perlu menjelaskan obligasi kira-kira RM25.85 bilion kepada institusi tersebut.

Pendeposit tidak menyimpan slogan. Mereka menyimpan wang hasil titik peluh untuk menunaikan haji.

Tangkap pencuri jika ada. Dakwa mereka jika bukti mencukupi. Jika belum ada pendakwaan, berhenti menjadikan amanah pendeposit sebagai peluru ceramah.

Sebelum menjerit “sakau”, jawab dahulu RM25.85 bilion.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال