Malaysia Hot

KBS teliti kemungkinan Sepang ganti Bahrain jadi tuan rumah F1


KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang meneliti kemungkinan menganjurkan perlumbaan Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang sekiranya Malaysia dipilih menggantikan Bahrain sebagai tuan rumah perlumbaan berkenaan.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pihaknya telah menerima makluman awal berhubung kemungkinan tersebut dan kini sedang menjalankan penelitian serta perbincangan lanjut mengenai perkara itu.

Menurut beliau, KBS kekal komited untuk menyokong pembangunan sukan negara termasuk sukan permotoran yang mempunyai pengaruh besar di peringkat antarabangsa.

“YAB Perdana Menteri dan Kementerian Belia dan Sukan telah menerima makluman awal kemungkinan penganjuran perlumbaan Formula 1 di Litar Antarabangsa Sepang bagi menggantikan perlumbaan F1 Bahrain.

“Sehubungan dengan perkara ini, perbincangan serta penelitian oleh pihak KBS sedang giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau bagaimanapun menjelaskan sebarang perkembangan lanjut berhubung perkara itu akan dimaklumkan selepas proses penelitian dan perbincangan dimuktamadkan.

Malaysia pernah menjadi tuan rumah Formula Satu selama 19 tahun berturut-turut bermula pada 1999 sebelum perlumbaan terakhir dianjurkan di Litar Antarabangsa Sepang pada 2017.

Sepang sebelum ini sering mendapat pujian daripada pelumba dan pasukan Formula Satu kerana reka bentuk litar yang mencabar serta kemudahan bertaraf dunia yang dimilikinya.

Baru-baru ini, media antarabangsa melaporkan Bahrain berkemungkinan kembali menjadi tuan rumah perlumbaan F1 mengisi slot antara Grand Prix Azerbaijan dan Grand Prix Singapura.

Namun, ketegangan yang berterusan di rantau Asia Barat, termasuk siri serangan peluru berpandu, menimbulkan persoalan mengenai kemampuan Bahrain untuk menganjurkan perlumbaan tersebut seperti dirancang.

Formula Satu kini menunggu keputusan rasmi yang dijangka dibuat dalam masa terdekat, susulan pemantauan rapat terhadap mesyuarat Majlis Sukan Permotoran Dunia FIA hujung minggu ini.

Mesyuarat itu dijangka turut membincangkan status perlumbaan Kejuaraan Endurance Dunia FIA (WEC) di Qatar dan Bahrain, dengan faktor keselamatan menjadi pertimbangan utama.

Sebelum ini, WEC menangguhkan pusingan Qatar ke 24 Oktober berikutan konflik di rantau berkenaan, manakala perlumbaan penutup musim di Bahrain masih dijadualkan berlangsung pada 7 November.

Sumber.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال