KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh di sebuah taman permainan di Cyberjaya, Sepang, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman, berkata suspek berusia awal 20-an ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada polis.
Beliau berkata, wanita tempatan berkenaan membuat laporan polis jam 7.18 malam tadi berhubung kejadian itu.
"Lelaki berkenaan didakwa memasukkan tangan ke dalam seluar dan menggosok kemaluan secara berulang kali sambil merenung ke arah wanita berkenaan.
"Bimbang terhadap keselamatan diri, wanita berkenaan mendapatkan bantuan orang awam dan suspek ditahan oleh beberapa orang awam sebelum diserahkan kepada anggota polis yang tiba di lokasi," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Norhizam berkata, suspek direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun, jika sabit kesalahan.
Beliau berkata, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Seksyen itu memperuntukkan denda hingga RM10,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan sebatan tidak melebihi enam kali, jika sabit kesalahan.
"Polis merakamkan penghargaan kepada orang awam yang membantu menahan suspek dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Kejadian itu turut tular di Threads selepas wanita terbabit mendakwa suspek melakukan perbuatan tidak senonoh sambil memandang ke arahnya dan anaknya di taman permainan berkenaan.
Hantaran itu turut memaparkan gambar seorang lelaki sedang ditahan anggota polis, selain wanita terbabit mengingatkan ibu bapa supaya lebih berhati-hati ketika membawa anak ke kawasan permainan awam.
Sumber.
Tags
Jenayah

