Malaysia Hot

MyDigital ID: RM28.13 Juta Dibelanja Tanpa Kelulusan – Laporan Ketua Audit Negara


Laporan Ketua Audit Negara 1/2026 mengenai Projek Pembangunan MyDigital ID sepatutnya dibaca lebih daripada sekadar sebuah teguran pentadbiran. Di sebalik bahasa audit yang formal dan teknikal, terdapat satu angka yang sukar dipandang ringan apabila RM28.13 juta telah dibelanjakan tanpa kelulusan jawatankuasa yang ditetapkan, dalam keadaan struktur tadbir urus projek itu sendiri didapati tidak berfungsi sebagaimana yang sepatutnya.

Ini bukan tuduhan politik, sebaliknya penemuan Audit Negara. MIMOS Berhad dilantik sebagai agensi pelaksana MyDigital ID pada 21 Julai 2023, sebelum Kementerian Dalam Negeri menyalurkan peruntukan pembangunan pertama sebanyak RM80 juta. Tatacara perbelanjaannya juga telah ditentukan sejak awal apabila perincian peruntukan perlu dikemukakan, manakala perbelanjaan projek sepatutnya dipantau, disahkan dan mendapat kelulusan jawatankuasa yang ditetapkan sebelum dilaksanakan.

Maksudnya, mekanisme kawalan itu memang wujud. Masalahnya, ia tidak berfungsi seperti yang dirancang. Daripada RM28.13 juta yang diperiksa, sebanyak RM24.67 juta dibelanjakan bagi kategori perkhidmatan, RM1.55 juta lagi digunakan untuk perisian, RM1.54 juta bagi lain-lain, RM330,000 untuk perkakasan ICT dan RM40,000 bagi pembangunan sistem aplikasi.

Apabila hampir RM25 juta diletakkan di bawah satu kategori luas bernama “perkhidmatan”, penjelasan terperinci wajar diberikan kepada rakyat mengenai apakah sebenarnya perkhidmatan yang dibayar, siapa penerimanya, bagaimana nilai tersebut ditentukan dan siapa yang mengesahkan bahawa perbelanjaan itu wajar. Ini penting kerana Audit turut merekodkan 11 sub-skop projek melibatkan RM4.08 juta yang dibelanjakan tanpa atau melebihi penyaluran peruntukan, selain satu lagi sub-skop yang mencatatkan perbelanjaan melebihi jumlah kos sebanyak RM70,000. Audit mengaitkan keadaan itu dengan kelemahan kawalan dalaman dan ketidakpatuhan terhadap tadbir urus serta mandat yang telah ditetapkan.

Lebih sukar dijelaskan ialah penggunaan RM14.09 juta dana pembangunan bagi ‘resource cost’, emolumen, kemudahan perubatan kakitangan dan kelengkapan pejabat. Menurut Audit Negara, perbelanjaan itu bertentangan dengan Garis Panduan Pelaksanaan Projek Pembangunan Rancangan Malaysia Kedua Belas serta tidak mengikut tujuan asal peruntukan atau purpose of vote.

Bahasa audit mungkin kedengaran lembut, tetapi implikasinya tidak. Wang pembangunan sepatutnya digunakan mengikut tujuan yang diluluskan, maka apabila RM14.09 juta akhirnya digunakan untuk perkara yang ditegur Audit, tumpuan tidak lagi boleh berhenti kepada soal bagaimana kesilapan itu berlaku. Rakyat berhak mengetahui siapa yang mengarahkan pembayaran, siapa yang meluluskan atau membiarkannya berlaku, siapa yang sepatutnya memeriksa sebelum wang keluar dan siapa yang akhirnya perlu bertanggungjawab apabila mekanisme kawalan gagal dalam skala puluhan juta ringgit.

Penemuan berkaitan perolehan turut menambah berat kepada isu ini. Audit mendapati pembelian peralatan Certificate Authority termasuk security cage dan door access dibuat tanpa kelulusan Makmal Kajian Nilai, manakala peralatan tersebut pula tidak digunakan. Audit menyifatkannya sebagai kelemahan kawalan dalaman, ketidakpatuhan terhadap prosedur kelulusan perolehan serta pembaziran terhadap aset yang dibeli tetapi tidak digunakan untuk projek.

Dilihat secara berasingan, setiap penemuan mungkin cuba dijelaskan sebagai kelemahan proses. Apabila semuanya diletakkan bersama, gambarnya berubah sama sekali. Terdapat perbelanjaan tanpa kelulusan, sub-skop yang dibelanjakan tanpa atau melebihi peruntukan, dana pembangunan yang digunakan bagi tujuan yang ditegur Audit, peralatan yang dibeli tanpa kelulusan tertentu dan aset yang akhirnya tidak digunakan. Semua ini berlaku dalam sebuah projek yang struktur tadbir urusnya sendiri dirumuskan Audit sebagai tidak berfungsi sebagaimana ditetapkan.

Keadaan ini sudah melangkaui isu borang tidak lengkap atau minit mesyuarat yang lewat ditandatangani. Dokumen projek sendiri menetapkan MIMOS perlu mendapatkan kelulusan Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Teknikal sebelum pelaksanaan serta perbelanjaan dibuat, namun Audit kemudian menemukan RM28.13 juta dibelanjakan tanpa kelulusan jawatankuasa tersebut.

Jurang antara apa yang diwajibkan dengan apa yang berlaku itulah yang perlu dijawab secara terbuka. Adakah semua ini sekadar kelemahan tadbir urus, kecuaian serius atau terdapat unsur penyalahgunaan kuasa, pecah amanah atau jenayah yang memerlukan siasatan lebih mendalam? Laporan Ketua Audit Negara tidak menyatakan bahawa RM28.13 juta itu dicuri atau “disakau”, dan laporan tersebut juga bukan keputusan siasatan jenayah yang boleh digunakan untuk menghukum sesiapa terlebih dahulu.

Namun, penemuan yang direkodkan sudah memberikan cukup banyak lampu merah untuk kerajaan tidak berhenti setakat jawapan bahawa prosedur akan diperbaiki. Rekod perbelanjaan perlu dibuka dengan lebih telus, pembayaran diperincikan, penerima dikenal pasti dan rantaian keputusan dijelaskan supaya rakyat tahu siapa yang mengarahkan, meluluskan atau membenarkan semua perbelanjaan berkenaan berlaku. Jika semuanya bersih, buktikan dengan dokumen. Jika ada kecuaian, ambil tindakan. Jika ada unsur jenayah, siasat dan dakwa.

MyDigital ID diwujudkan untuk memastikan identiti rakyat dapat disahkan dengan tepat. Selepas membaca laporan Audit Negara ini, rakyat pula berhak meminta kerajaan mengenal pasti satu identiti yang masih kabur, iaitu pihak yang bertanggungjawab terhadap RM28.13 juta wang awam yang dibelanjakan tanpa kelulusan. Selagi nama, keputusan dan rantaian tanggungjawab itu tidak dijelaskan, satu soalan akan terus melekat pada penemuan audit ini.

Ada jenayah sakau atau tidak?

 

Previous Post Next Post

نموذج الاتصال