Malaysia Hot

Malaysia Airports adakan latihan penuh kemalangan udara di R&R Denai Alam Khamis ini


SHAH ALAM: Malaysia Airports akan mengadakan Latihan Penuh Skala Kemalangan Udara di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Denai Alam, Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) dari 8 pagi hingga 2 petang pada Khamis ini. 

Malaysia Airports dalam kenyataan memaklumkan latihan yang dikenali sebagai Latih Amal Ex Urban Falcon 2026 itu diadakan dengan kerjasama Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) dan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPEN) di bawah Program Siaga Bencana Udara Kebangsaan 2026. 

“Latih amal ini adalah sebahagian daripada Program Siaga Bencana Udara Kebangsaan 2026 bersandarkan tema ‘Integrasi Perkasa, Aspirasi Nusa’ anjuran Malaysia Airports dengan kolaborasi bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan PROLINTAS-DASH.

“Pelaksanaan latihan amal bencana udara ini mempunyai objektif utama untuk menilai dan menguji tahap kesiapsiagaan, koordinasi serta tindak balas dalam mendepani sebarang situasi kecemasan.

“Selain itu, program ini juga berfungsi untuk menguji respons daripada pelbagai agensi keselamatan dan kecemasan yang berkaitan,” menurut kenyataan itu. 

Sepanjang latihan berlangsung, pengguna Lebuhraya DASH dan orang awam dinasihatkan supaya memberikan kerjasama sekiranya melihat kehadiran kenderaan kecemasan, asap, replika pesawat, bunyi siren atau aktiviti simulasi di sekitar kawasan R&R Denai Alam kerana ia adalah sebahagian daripada latihan itu.

Orang ramai juga diminta mematuhi arahan petugas di lokasi bagi memastikan kelancaran pelaksanaan latihan.

Malaysia Airports, PROLINTAS dan JaPEN menghargai kerjasama orang ramai bagi memastikan latihan itu dilaksanakan dengan selamat dan lancar.

-- BERNAMA
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال