Malaysia Hot

Messi menang setiap kali Elfath jadi pengadil


ATLANTA: Pelantikan pengadil dari Amerika Syarikat, Ismail Elfath, untuk mengadili aksi separuh akhir Piala Dunia antara Argentina dan England mencetuskan perdebatan dalam kalangan penyokong England.

Ini kerana Lionel Messi tidak pernah mengalami kekalahan atau seri dalam perlawanan yang dikendalikan Elfath, sebaliknya mencatat lima kemenangan.

Elfath, warganegara Amerika Syarikat yang dilahirkan di Maghribi, akan dibantu dua rakan senegara, Corey Parker dan Kyle Atkins, pada aksi yang berlangsung awal pagi esok.

Beberapa portal melaporkan pasukan yang dibarisi Messi memiliki rekod sempurna 5-0 setiap kali Elfath terbabit dalam perlawanan, sama ada sebagai pengadil utama atau pegawai perlawanan.

Pada final Piala Dunia 2022 di Qatar, Elfath bertugas sebagai pegawai keempat ketika Argentina menewaskan Perancis menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3.

Selepas menyertai Inter Miami pada musim panas 2023, Messi sekali lagi menikmati kejayaan apabila Elfath mengadili final sulung Piala Liga yang menyaksikan kelab itu menewaskan Nashville menerusi penentuan penalti untuk menghadiahkan trofi pertama kepada bintang Argentina itu bersama kelab baharunya.

Sepanjang Piala Dunia kali ini, Elfath sudah mengadili dua aksi peringkat kumpulan membabitkan Jepun menentang Belanda serta Sepanyol menentang Uruguay, selain perlawanan pusingan 16 terbaik yang menyaksikan Norway mengejutkan Brazil.

Pemenang pertembungan antara Argentina dan England akan menentang Sepanyol pada aksi final di East Rutherford, New Jersey, Ahad ini.

Sumber.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال