Pelakon dan model Korea Selatan, Kim Jin-kyung, menjadi sasaran kecaman dalam talian selepas suaminya, penjaga gol skuad kebangsaan Korea Selatan, Kim Seung-gyu, dikritik susulan aksi mengecewakan pasukan di Piala Dunia 2026.
Walaupun Kim Jin-kyung tidak mempunyai sebarang kaitan dengan keputusan perlawanan, ramai pengguna media sosial menyerangnya dengan komen berbaur kebencian di akaun peribadinya.
Keadaan menjadi lebih menyedihkan apabila video yang memaparkan detik kelahiran anak sulung pasangan itu turut dibanjiri komen negatif yang menyalahkan Kim Seung-gyu atas kekalahan pasukan Korea Selatan.
Akibat serangan siber yang semakin melampau, Kim Jin-kyung terpaksa mengehadkan ruangan komen di media sosial dan saluran YouTube miliknya bagi melindungi dirinya serta keluarga.
Pasangan itu berkahwin pada 2024 dan baru sahaja menimang cahaya mata pertama mereka. Kim Seung-gyu tidak dapat berada di sisi isterinya ketika kelahiran kerana sedang menjalani tugasan bersama skuad kebangsaan di Piala Dunia.
Insiden itu mencetuskan kritikan terhadap budaya toksik segelintir penyokong bola sepak yang bertindak menyerang ahli keluarga pemain atas prestasi di atas padang. Ramai berpendapat kritikan terhadap pemain adalah perkara biasa dalam sukan, namun melibatkan keluarga mereka jelas melampaui batas.
Sumber.
Tags
Hiburan

