Malaysia Hot

Pesara lesap hampir RM1 juta sertai pelaburan tidak wujud


MUKAH: Seorang pesara kerajaan kerugian RM914,209, selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan menerusi sistem dagangan automatik berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias, berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa lelaki berusia 56 tahun itu pada jam 2.20 petang semalam. 

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa tertarik dengan iklan pelaburan yang dipromosikan menerusi Facebook oleh sebuah syarikat pada 22 Disember 2025.

"Mangsa kemudian berhubung dengan seorang individu dikenali sebagai 'Kamil' sebelum dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp yang dikendalikan beberapa individu lain yang mendakwa mewakili syarikat pelaburan berkenaan.

"Mangsa dipujuk menyertai pelaburan melalui platform dinamakan Setia Capital Trading dengan modal permulaan RM300," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi meyakinkan mangsa, suspek memaparkan keuntungan pelaburan yang kononnya meningkat kepada RM87,124. Namun, sebelum keuntungan itu boleh dikeluarkan, mangsa diminta membuat pelbagai bayaran termasuk yuran jualan balik, perlindungan keselamatan bank, bayaran naik taraf dan caj lain atas alasan untuk mengeluarkan dana.

"Suspek turut memberi jaminan semua bayaran itu akan dipulangkan bersama keuntungan pelaburan," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang mempercayai tawaran berkenaan melakukan 88 transaksi ke 32 akaun individu berbeza membabitkan enam bank dalam tempoh 22 Disember 2025 hingga 6 Mac 2026, dengan jumlah keseluruhan RM914,209.

"Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas gagal memperoleh sebarang keuntungan mahupun mendapatkan semula modal pelaburan sebelum tampil membuat laporan polis," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sumber.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال