ARLINGTON, TEXAS: Mikel Merino muncul wira Sepanyol apabila menjaringkan gol kemenangan pada saat-saat akhir untuk menewaskan Portugal 1-0 dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia, sekali gus memadam impian Cristiano Ronaldo mengakhiri kariernya dengan trofi paling berprestij bola sepak dunia.
Di hadapan 70,649 penonton di Stadium AT&T, Arlington, perlawanan yang menemukan dua kuasa Eropah itu kelihatan menuju ke masa tambahan sebelum Merino mencuri tumpuan menerusi penyudah tenang pada minit pertama masa kecederaan.
Gol tersebut hadir hasil gerakan pantas pemain gantian Ferran Torres yang melorongkan bola kepada Merino sebelum pemain tengah Arsenal itu melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol Portugal, Diogo Costa.
Jaringan itu bukan sahaja memastikan kemaraan Sepanyol ke suku akhir, malah berpotensi menutup tirai perjalanan Ronaldo di pentas Piala Dunia selepas penyerang berusia 41 tahun itu mengesahkan kejohanan kali ini adalah penampilan terakhirnya dalam temasya berkenaan.
Bagi Merino, malam di Arlington menjadi pentas sempurna untuk mengukuhkan reputasinya sebagai pemain yang sering muncul dalam detik penting.
Ketika ramai menjangkakan tumpuan terarah kepada pertembungan antara Ronaldo dan sensasi muda Sepanyol, Lamine Yamal, pemain berusia 30 tahun itu akhirnya menjadi watak yang menentukan nasib perlawanan.
Kedua-dua pasukan turun tanpa sebarang kekalahan dalam kejohanan dan beraksi dengan penuh disiplin dalam perlawanan yang menyaksikan peluang berkualiti sukar dicipta.
Sepanyol terlebih dahulu hampir membuka jaringan menerusi Mikel Oyarzabal seawal minit ke-10, namun percubaannya tersasar walaupun hanya berdepan Costa.
Portugal kemudian memberi respons menerusi Ronaldo yang hampir mencetak nama selaku penjaring, namun percubaannya dari sudut sempit berjaya diselamatkan penjaga gol Sepanyol, Unai Simon.
Pasukan kendalian Luis de la Fuente terus mengasak dengan Lamine Yamal dan Alex Baena menguji ketangkasan Costa sepanjang perlawanan, tetapi penjaga gol Portugal itu tampil cemerlang untuk memastikan kedudukan kekal seimbang.
Portugal pula hampir mendahului sebelum rehat apabila percubaan Nuno Mendes terkena pertahanan Pedro Porro sebelum menggegar palang gol Sepanyol, sekali gus menggambarkan betapa tipisnya jurang pemisah antara kedua-dua pasukan.
Namun seperti yang diakui jurulatih Portugal, Roberto Martinez selepas perlawanan, aksi di peringkat kalah mati sering ditentukan oleh perincian kecil. Kali ini, perincian itu memihak kepada Sepanyol dan Merino.
“Dalam perlawanan seperti ini, bola yang terkena palang dan masuk atau tidak boleh mengubah segala-galanya,” kata Martinez.
Kemenangan tersebut mengekalkan rekod cemerlang Sepanyol yang masih belum melepaskan sebarang gol dalam kejohanan, sekali gus mengukuhkan status mereka sebagai antara pencabar utama kejuaraan.
Juara Eropah itu dijadual menentang sama ada Amerika Syarikat atau Belgium dalam aksi suku akhir di Los Angeles.
Sementara itu, Portugal terpaksa pulang dengan tangan kosong, manakala Ronaldo meninggalkan padang dalam suasana penuh emosi apabila impiannya untuk menjulang Piala Dunia buat kali pertama berakhir di tangan seorang pemain yang mungkin tidak menjadi tumpuan sebelum perlawanan bermula.
Pada malam yang sepatutnya menjadi pentas buat legenda Portugal itu, Merino muncul sebagai pemusnah impian terakhir Ronaldo.
Sumber.
Tags
Sukan

