HARAPAN Amerika Syarikat (AS) untuk melangkah jauh dalam saingan Piala Dunia di halaman sendiri berakhir selepas tewas 1-4 kepada Belgium pada aksi pusingan kalah mati, sebentar tadi.
Belgium tampil cemerlang menerusi Charles De Ketelaere yang menjaringkan dua gol dan mencipta satu bantuan jaringan untuk membantu pasukannya melangkah ke peringkat suku akhir.
AS yang diperkuat dengan kembalinya penyerang utama, Folarin Balogun, selepas penggantungan satu perlawanan akibat kad merah dibatalkan oleh FIFA, gagal memanfaatkan kelebihan itu.
Sebaliknya, beberapa kesilapan di benteng pertahanan AS membolehkan Belgium menjaringkan dua gol pada babak pertama, sebelum penjaga gol Matt Freese melakukan kesilapan yang menghadiahkan gol ketiga kepada Belgium sebaik babak kedua bermula.
Malik Tillman sempat menyamakan kedudukan 1-1 menerusi sepakan percuma pada pertengahan babak pertama, namun Belgium kembali di hadapan hanya 61 saat selepas sepak mula disambung.
Pemain gantian Romelu Lukaku melengkapkan kemenangan Belgium dengan gol keempat pada minit ketiga masa kecederaan.
Jurulatih AS, Mauricio Pochettino, jelas kecewa dengan aksi anak buahnya apabila dilihat menendang rak di hadapan bangku simpanan sehingga beberapa botol air tercampak.
Belgium kini akan berdepan Sepanyol dalam aksi suku akhir yang dijadual berlangsung di Inglewood, California pada Jumaat.
Terdahulu, FIFA membenarkan Balogun beraksi pada pusingan 16 menentang Belgium itu meskipun penggantungan terhadapnya telah diumumkan susulan dilayangkan kad merah ketika bermain menentang Bosnia.
Tags
Sukan

