ARLINGTON, TEXAS: Cristiano Ronaldo mengesahkan perjalanan terakhirnya di pentas Piala Dunia sudah berakhir, namun enggan membuat keputusan tergesa-gesa mengenai masa depannya bersama skuad kebangsaan Portugal selepas pasukannya tersingkir di tangan Sepanyol.
Portugal tewas 0-1 kepada juara Eropah itu dalam aksi pusingan 16 terbaik menerusi jaringan lewat pemain gantian, Mikel Merino, yang muncul wira Sepanyol menerusi gol kemenangan pada minit pertama masa kecederaan.
Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Ronaldo menyifatkan Sepanyol sedikit bernasib baik untuk meraih kemenangan dalam perlawanan yang menurutnya boleh memihak kepada mana-mana pasukan.
“Saya sedih meninggalkan Piala Dunia dengan cara seperti ini. Saya memberikan segala-galanya. Saya melakukan yang terbaik dan meninggalkan kejohanan ini dengan hati yang tenang.
“Ya, ini Piala Dunia terakhir saya, tetapi saya akan mengambil masa untuk berfikir dan bersama keluarga. Saya tidak akan membuat keputusan secara terburu-buru,” katanya.
Pemain berusia 41 tahun itu bagaimanapun tidak mengesahkan sama ada perlawanan menentang Sepanyol merupakan penampilan terakhirnya bersama Portugal.
Menurutnya, beliau tidak mahu keputusan peribadinya mengatasi perhatian terhadap perjalanan pasukan negara dalam kejohanan tersebut.
“Saya tidak membuat keputusan ketika emosi masih memuncak,” katanya.
Walaupun kempen Portugal berakhir lebih awal daripada jangkaan, Ronaldo tetap berbangga dengan sumbangannya sepanjang lebih dua dekad menyarung jersi kebangsaan.
Kapten Portugal itu membantu negaranya merangkul gelaran Kejuaraan Eropah 2016 serta trofi Liga Negara-Negara UEFA pada 2019 dan 2025, menjadikannya era paling berjaya dalam sejarah bola sepak Portugal.
“Saya memenangi tiga kejuaraan bersama Portugal. Sebelum Cristiano Ronaldo, Portugal tidak pernah memenangi sebarang gelaran.
“Gelar paling besar yang pernah dimenangi pasukan kebangsaan ialah Kejuaraan Eropah 2016 dan, sejujurnya, ia sama bermaknanya buat saya seperti memenangi Piala Dunia,” katanya.
Ronaldo turut melahirkan penghargaan kepada Roberto Martinez yang mengendalikan perlawanan terakhirnya sebagai ketua jurulatih Portugal selepas mengumumkan peletakan jawatan susulan kekalahan tersebut.
“Saya suka bekerja dengannya. Beliau seorang jurulatih hebat dan insan yang luar biasa.
“Apa yang telah dilakukannya untuk Portugal wajar dihargai. Saya ingin mengucapkan terima kasih dan mendoakan yang terbaik untuknya,” kata Ronaldo.
Mengulas penyingkiran Portugal, penyerang Al-Nassr itu mengakui kekalahan dalam kejohanan besar sentiasa sukar diterima, terutama ketika beliau merasakan pasukannya sedang berada pada prestasi terbaik.
“Sudah tentu menyedihkan apabila tersingkir daripada kejohanan besar. Ini adalah Piala Dunia.
“Pada pandangan saya, pasukan ini sedang berkembang dengan baik dan kami bermain dengan baik. Perlawanan itu boleh berakhir memihak kepada mana-mana pasukan, tetapi itulah bola sepak.
“Kami perlu bangkit semula dan meneruskan perjuangan. Memang mengecewakan untuk tersingkir dengan cara ini, tetapi kami masih boleh berbangga dengan apa yang kami lakukan,” katanya.
Kekalahan itu bukan sahaja menamatkan cabaran Portugal di Piala Dunia, malah berpotensi menjadi penutup kepada karier antarabangsa Ronaldo yang dianggap antara pemain terhebat pernah menghiasi pentas bola sepak dunia.
Namun buat masa ini, masa depan legenda Portugal itu masih belum diputuskan. - Agensi
Tags
Sukan

