Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, antara kempen Pakatan Harapan yang terus diulang ialah rakyat perlu memilih kerajaan negeri yang "selari" dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan lebih banyak pembangunan, pelaburan dan peruntukan dapat disalurkan kepada negeri.
Naratif ini bukan sesuatu yang baharu. Ia pernah digunakan dalam beberapa pilihan raya sebelum ini dengan hujah bahawa hubungan politik yang sehaluan akan memudahkan kerjasama antara Putrajaya dan kerajaan negeri.
Namun keberadaan Pulau Pinang yang sejajar dengan Kerajaan Pusat tidak menggambarkan apa yang ‘dijual’ oleh Pakatan Harapan.
Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, pernah menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya memulangkan kekurangan peruntukan sebanyak RM2.8 bilion kepada Pulau Pinang bagi tempoh 2023 hingga 2025.
Menurut beliau, Pulau Pinang menyumbang kira-kira RM10.7 bilion kepada kerajaan Persekutuan tetapi hanya menerima RM7.9 bilion dalam bentuk peruntukan. Beliau turut membandingkan jumlah tersebut dengan Kedah yang menerima peruntukan lebih tinggi walaupun sumbangan hasilnya lebih rendah.
Daripada sudut politik, kenyataan itu menimbulkan persoalan yang menarik.
Pulau Pinang ialah negeri yang ditadbir oleh Pakatan Harapan. Kerajaan Persekutuan juga dipimpin oleh Pakatan Harapan.
Sekiranya keselarasan politik benar-benar menjadi faktor utama dalam menentukan agihan yang lebih menguntungkan sesebuah negeri, mengapa isu kekurangan peruntukan masih dibangkitkan oleh pemimpin kanan gabungan yang sama?
Dalam masa yang sama, Perdana Menteri menjelaskan di Dewan Rakyat bahawa agihan peruntukan Persekutuan dibuat berdasarkan keperluan pembangunan dan kesejahteraan rakyat, bukannya semata-mata mengikut jumlah hasil cukai yang disumbangkan oleh sesebuah negeri.
Penjelasan tersebut memberi gambaran bahawa pengagihan fiskal melibatkan pelbagai pertimbangan dasar dan keperluan pembangunan, bukan hanya hubungan politik antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat.
Ini bermaksud terdapat dua pandangan yang berbeza dalam isu yang sama.
Di satu pihak, Lim Guan Eng berpendapat Pulau Pinang menerima kurang daripada yang sewajarnya.
Di pihak kerajaan Persekutuan pula, Perdana Menteri menegaskan bahawa agihan dibuat mengikut keperluan pembangunan, bukan berdasarkan jumlah sumbangan hasil semata-mata.
Di sinilah naratif politik menjelang PRN Johor menjadi menarik.
Sekiranya ada pihak berhujah bahawa rakyat Johor perlu memilih kerajaan negeri yang "selari dengan Putrajaya" untuk memperoleh lebih banyak manfaat, kes Pulau Pinang menunjukkan bahawa hubungan politik semata-mata tidak semestinya menjadi jaminan kepada agihan peruntukan yang lebih tinggi.

