Barisan Nasional (BN) menawarkan perubahan ekonomi yang nyata kepada rakyat Negeri Sembilan melalui sasaran mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh lima tahun sekiranya diberikan mandat membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Tawaran itu bukan sekadar angka untuk menghiasi manifesto. Ia merupakan pelan menyusun semula ekonomi negeri supaya rakyat tidak lagi terpaksa keluar sebelum subuh dan pulang selepas malam semata-mata untuk mencari rezeki di Kuala Lumpur, Putrajaya, Cyberjaya dan Selangor.
Sudah terlalu lama Negeri Sembilan menjadi tempat tinggal tenaga kerja yang menggerakkan ekonomi negeri lain. Rumah mereka di Negeri Sembilan, keluarga mereka di Negeri Sembilan tetapi sebahagian besar masa, tenaga dan perbelanjaan harian mereka dicurahkan di luar negeri.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran 50,000 pekerjaan itu akan dicapai melalui pembangunan sektor perindustrian, kemasukan pelaburan langsung strategik serta pembukaan kawasan ekonomi baharu. Secara purata, kira-kira 10,000 peluang pekerjaan disasarkan setiap tahun.
Negeri Sembilan mempunyai kelebihan besar untuk muncul sebagai pusat perindustrian moden. Kedudukannya berhampiran Lembah Klang, jaringan lebuh raya yang baik, keluasan tanah pembangunan serta kewujudan kawasan industri di Seremban, Nilai dan beberapa lokasi lain menyediakan asas kukuh untuk menarik pelaburan bernilai tinggi.
Malangnya, potensi itu gagal diterjemahkan secara menyeluruh oleh pentadbiran Pakatan Harapan (PH) kepada penciptaan pekerjaan tempatan berskala besar. Selepas bertahun-tahun memerintah, PH masih belum mampu membuktikan bahawa mereka mempunyai strategi ekonomi yang dapat mengurangkan kebergantungan rakyat Negeri Sembilan kepada pasaran pekerjaan di negeri jiran.
PH boleh terus bercakap tentang pertumbuhan, pembangunan dan pelaburan, namun kejayaan sesebuah kerajaan tidak diukur melalui ucapan atau papan iklan. Ukurannya ialah sama ada anak muda memperoleh pekerjaan berkualiti di negeri sendiri, sama ada ibu bapa dapat pulang lebih awal menemui keluarga dan sama ada rakyat masih perlu membayar tol serta petrol setiap hari untuk mencari rezeki di luar Negeri Sembilan.
Setiap pagi, ribuan penduduk terpaksa menempuh perjalanan jauh dan kesesakan lalu lintas. Mereka pulang dalam keadaan letih, sedangkan masa bersama anak-anak semakin berkurangan. Situasi itu bukan sekadar masalah perjalanan tetapi mencerminkan kegagalan pembangunan ekonomi negeri bergerak seiring dengan pertumbuhan penduduk dan pembukaan kawasan perumahan baharu.
Rumah terus dibina dan bandar semakin berkembang tetapi peluang pekerjaan bernilai tinggi masih banyak tertumpu di luar sempadan negeri. Pentadbiran PH seolah-olah berpuas hati menjadikan Negeri Sembilan sebagai kawasan kediaman pekerja Lembah Klang, bukannya sebuah negeri yang mencipta pekerjaan, kekayaan dan mobiliti sosial untuk rakyatnya sendiri.
BN mahu menamatkan keadaan tersebut. Negeri Sembilan tidak sepatutnya terus dikenali sebagai “negeri komuter” yang membekalkan tenaga kerja kepada Kuala Lumpur dan Selangor. Negeri ini mesti muncul sebagai pusat pekerjaan, pelaburan dan pengeluaran yang mampu menarik orang luar datang bekerja, bukannya memaksa anak tempatan keluar mencari pendapatan.
Sasaran 50,000 pekerjaan juga akan merangsang ekosistem ekonomi yang lebih luas. Pertumbuhan industri bukan sahaja membuka jawatan di kilang, malah meningkatkan permintaan dalam sektor logistik, teknologi, penyelenggaraan, kejuruteraan, perkhidmatan profesional, peruncitan, makanan serta perusahaan kecil dan sederhana.
Hasrat BN menjadikan Negeri Sembilan sebagai salah sebuah hab pengeluaran produk halal turut menawarkan potensi besar. Industri halal merangkumi makanan dan minuman, farmaseutikal, kosmetik, pembungkusan, penyimpanan, logistik serta penyelidikan dan pembangunan.
Keseluruhan rantaian nilai itu mampu menyediakan pekerjaan berkemahiran tinggi kepada graduan universiti dan lepasan institusi pendidikan teknikal. Anak muda Negeri Sembilan tidak sepatutnya terpaksa meninggalkan negeri sendiri hanya kerana kerajaan gagal membawa masuk pekerjaan yang setimpal dengan kelayakan mereka.
Pada masa sama, realiti rakyat yang masih perlu berulang-alik ke Lembah Klang tidak boleh diabaikan. Pelaksanaan subsidi bahan api secara bersasar mesti mengambil kira corak perjalanan sebenar penduduk Negeri Sembilan.
Apa yang membimbangkan, adakah kuota 200 liter sebulan mencukupi untuk pekerja yang melakukan perjalanan jauh setiap hari?
Penduduk yang berulang-alik dari Seremban, Rembau, Port Dickson dan kawasan sekitarnya menggunakan lebih banyak bahan api bukan kerana kemewahan atau pembaziran tetapi kerana tuntutan pekerjaan.
Rakyat tidak boleh dihukum dua kali. Mereka sudah terpaksa bekerja di luar negeri kerana peluang tempatan tidak mencukupi, kemudian berdepan pula risiko kehilangan subsidi apabila kuota yang ditetapkan gagal mengambil kira jarak perjalanan sebenar.
Dasar subsidi bersasar perlu berasaskan data lokasi pekerjaan, jarak perjalanan dan keperluan isi rumah. Kuota 200 liter sebulan mesti benar-benar melindungi mereka yang berulang-alik ke Kuala Lumpur dan Selangor, bukannya menambah beban kepada rakyat yang sedang berusaha mencari rezeki.
Penyelesaian jangka panjang bukan sekadar membantu rakyat membayar kos perjalanan. Penyelesaian sebenar ialah membawa pekerjaan lebih dekat kepada kediaman mereka. Di sinilah perbezaan utama antara tawaran BN dengan kegagalan PH.
BN menawarkan pembinaan kapasiti ekonomi, kawasan industri baharu dan sasaran pekerjaan yang boleh diukur. PH pula masih mahu rakyat menerima keadaan sedia ada seolah-olah perjalanan berjam-jam ke negeri lain merupakan suatu bentuk kemajuan.
Zahid menegaskan manifesto BN akan mengandungi komitmen yang realistik dan mampu dilaksanakan. Rakyat tidak lagi memerlukan janji berbunga tanpa jadual pelaksanaan, sumber kewangan dan hasil yang boleh dinilai.
Pengalaman BN mentadbir Negeri Sembilan sebelum ini membuktikan sektor industri mampu berkembang melalui pembangunan Seremban, Nilai dan kawasan sekitarnya. Dengan mandat yang jelas, proses menarik pelaburan, membangunkan zon ekonomi dan mewujudkan pekerjaan boleh dipercepatkan secara tersusun.
PRN kali ini bukan sekadar pertandingan antara parti. Ia adalah pilihan sama ada rakyat mahu meneruskan sebuah pentadbiran yang gagal menyediakan pekerjaan tempatan secukupnya atau memberikan peluang kepada BN membina ekonomi yang lebih dekat dengan kehidupan mereka.
Rakyat Negeri Sembilan tidak mahu terus menjadi penumpang dalam pembangunan negeri sendiri. Mereka mahu bekerja di sini, membesarkan keluarga di sini dan menikmati kemajuan di tanah kelahiran sendiri.
Sudah tiba masanya Negeri Sembilan berhenti menjadi negeri tempat rakyat hanya pulang untuk tidur sebelum kembali mencari rezeki di tempat lain.
50,000 pekerjaan, satu masa depan baharu. Kerja di Nogori, rezeki di Nogori, masa depan pun di Nogori.


