Pilihan raya bukan sekadar pertandingan menawarkan janji yang paling besar. Ia adalah medan untuk rakyat menilai siapa yang benar-benar mempunyai keupayaan mentadbir, mengurus kewangan dan melaksanakan dasar secara bertanggungjawab. Manifesto yang baik bukan diukur pada jumlah janji yang diumumkan, tetapi sejauh mana janji itu mampu diterjemahkan menjadi realiti.
Pengundi Johor hari ini jauh lebih matang berbanding dahulu. Mereka tidak lagi mudah terpesona dengan angka yang besar atau slogan yang menarik. Pengalaman lalu mengajar bahawa tidak semua janji pilihan raya berakhir dengan pelaksanaan. Sebab itulah setiap tawaran perlu dinilai berdasarkan logik, kemampuan kewangan dan rekod pentadbiran.
Dalam manifesto Pilihan Raya Negeri Johor kali ini, Pakatan Harapan (PH) menawarkan pembinaan 80,000 buah rumah untuk Bangsa Johor dalam tempoh lima tahun. Pada pandangan pertama, angka itu sememangnya kelihatan mengagumkan. Namun persoalan yang lebih penting ialah, mampukah ia dilaksanakan?
Isunya bukan kerana rakyat tidak memerlukan rumah. Hakikatnya, permintaan terhadap rumah mampu milik sentiasa tinggi. Persoalannya ialah sama ada kerajaan negeri mempunyai keupayaan kewangan untuk merealisasikan janji sebesar itu tanpa menjejaskan tanggungjawab pembangunan yang lain.
Berdasarkan pengalaman pelbagai agensi seperti SPNB, FELDA, ICU, KKDW serta kerajaan-kerajaan negeri, kos pembinaan sebuah rumah asas lazimnya berada dalam lingkungan RM44,000 hingga RM80,000 bergantung kepada spesifikasi dan lokasi. Jika diambil anggaran sederhana sebanyak RM60,000 seunit, pembinaan 80,000 buah rumah sahaja memerlukan sekitar RM4.8 bilion.
Angka itu pula hanyalah kos pembinaan rumah. Ia belum mengambil kira kos penyediaan tanah, pembinaan jalan, sistem perparitan, bekalan elektrik dan air, kemudahan awam, kerja-kerja kejuruteraan, pengurusan projek, kos profesional, kenaikan harga bahan binaan serta inflasi sepanjang tempoh lima tahun. Dalam realiti pembangunan, kos keseluruhan sesebuah projek perumahan sentiasa jauh lebih tinggi daripada kos membina rumah semata-mata.
Persoalan kewangan menjadi lebih menarik apabila melihat kedudukan hasil negeri Johor. Pada tahun 2022, hasil negeri direkodkan sekitar RM1.6 bilion, sebelum meningkat kepada kira-kira RM2.6 bilion. Jika purata hasil negeri dianggarkan sekitar RM2 bilion setahun, jumlah hasil sepanjang tempoh lima tahun adalah sekitar RM10 bilion.
Ini bermakna, jika hampir RM5 bilion diperlukan hanya untuk memenuhi satu janji pembinaan rumah, hampir separuh daripada keseluruhan hasil negeri bagi tempoh lima tahun akan digunakan untuk satu program sahaja.
Persoalannya, bagaimana pula kerajaan negeri mahu membiayai pembinaan jalan raya, tebatan banjir, sekolah, hospital, kemudahan sukan, pembangunan ekonomi, kebajikan rakyat, penyelenggaraan aset kerajaan, pengangkutan awam serta pelbagai projek pembangunan lain yang turut dijanjikan?
Lebih penting lagi, manifesto tersebut tidak menerangkan mekanisme pembiayaan projek berkenaan.
Dari mana sumber kewangan akan diperoleh?
Adakah kerajaan negeri bercadang membuat pinjaman?
Adakah kerajaan Persekutuan akan menanggung sebahagian besar kos? Berapa keluasan tanah telah dikenal pasti?
Siapakah agensi pelaksana?
Berapa unit akan dibina setiap tahun?
Tanpa jawapan kepada persoalan-persoalan asas ini, rakyat sukar menilai sama ada sasaran tersebut benar-benar telah dirancang atau sekadar angka yang dipilih kerana memberi impak politik.
Sebaliknya, apa yang sedang berlaku di Johor hari ini memperlihatkan pendekatan yang berbeza. Di bawah pentadbiran Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, kerajaan negeri memilih pendekatan yang lebih berperingkat dan berpaksikan kemampuan kewangan.
Berdasarkan Belanjawan Johor 2025, sebanyak 13,461 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) telah berjaya disiapkan sepanjang tempoh 2022 hingga 2024. Kerajaan negeri turut menetapkan sasaran 30,000 unit RMMJ menjelang tahun 2026, selain memperkenalkan J-Home One Stop Centre (J-Home OSC) bagi memudahkan proses permohonan, pembiayaan dan pemilikan rumah oleh rakyat.
Kerajaan negeri juga berjaya menghidupkan semula beberapa projek perumahan yang sebelum ini terbengkalai, termasuk projek Rumah Mampu Milik Johor di Simpang Renggam. Ini membuktikan bahawa fokus kerajaan bukan sekadar mengumumkan angka, tetapi memastikan projek benar-benar siap dan manfaatnya dinikmati rakyat.
Lebih membanggakan, prestasi kewangan Johor turut menunjukkan peningkatan yang konsisten sepanjang pentadbiran sekarang. Hasil negeri meningkat, keyakinan pelabur terus bertambah dan pelbagai projek strategik berjaya menarik pelaburan bernilai berbilion ringgit ke Johor. Kekuatan ekonomi inilah yang menjadi asas kepada pelaksanaan dasar-dasar pembangunan negeri, termasuk penyediaan rumah mampu milik secara berperingkat dan mampan.
Dalam pengurusan kewangan awam, setiap janji mempunyai kos. Setiap ringgit yang dibelanjakan untuk satu projek akan mengurangkan ruang fiskal bagi projek yang lain. Sebab itu persoalan sebenar bukan sekadar "bolehkah membina 80,000 rumah?" tetapi juga "bagaimana ia akan dibiayai tanpa menjejaskan pembangunan Johor secara keseluruhan?"
Manifesto yang meyakinkan bukan manifesto yang dipenuhi angka besar. Manifesto yang meyakinkan ialah manifesto yang disokong dengan sumber kewangan yang jelas, pelan pelaksanaan yang terperinci dan rekod pentadbiran yang boleh dibuktikan.
Akhirnya, Bangsa Johor perlu membuat pilihan berdasarkan fakta, bukannya retorik. Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, negeri memerlukan kerajaan yang berdisiplin mengurus kewangan, berani membuat keputusan dan mempunyai rekod menunaikan janji. Dalam soal perumahan, ukuran sebenar bukanlah siapa yang menjanjikan rumah paling banyak, tetapi siapa yang benar-benar mampu membinanya, menyerahkan kuncinya kepada rakyat dan memastikan pembangunan Johor terus mampan untuk generasi akan datang.
Jangan tertipu lagi seperti janji akan hapuskan Tol Simpang Renggam oleh PH di pilihanraya sebelum ini.

