Dalam Kerajaan Perpaduan, UMNO sepatutnya berdiri sebagai rakan setara, bukan parti yang kesetiaannya dipastikan melalui ketakutan.
Namun perkembangan mutakhir menimbulkan satu petunjuk UMNO mula akan mendapat tekanan yang disusun rapi dengan bertujuan untuk lemahkan UMNO dan Barisan Nasional.
Hari ini, berita bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bakal berdepan pertuduhan di bawah Akta SPRM menambahkan keresahan tersebut.
Kes itu dipercayai berkaitan pengisytiharan harta selepas SPRM dilaporkan merampas RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas daripada premis yang dikaitkan dengan siasatan terhadap beberapa bekas pegawai kanannya.
Perkembangan itu membenarkan pandangan pemerhati politi tempatan bahawa UMNO-BN bakal berdepan dengan tekanan sekiranya tidak lagi menurut kehendak MADANI?
Ahli UMNO perlu bersedia dengan seribu kemungkinan;
1. Lebih Ramai Pemimpin UMNO Akan Didakwa
Untuk nampak adil, ‘opera’ bermula dengan kenyataan “cliché”, sesiapa yang melakukan kesalahan wajib disiasat tanpa mengira parti. Namun keadilan bukan sekadar mengambil tindakan ia mesti dilaksanakan secara konsisten.
Jika siasatan bergerak pantas terhadap pemimpin UMNO tetapi kelihatan perlahan terhadap sekutu pemerintah, pendakwaan akan dibaca sebagai tekanan politik.
Kes Ismail Sabri menjadi ujian sama ada undang-undang benar-benar tajam kepada semua atau hanya terhadap pihak yang tidak lagi sehaluan.
2. Najib Razak Tidak Akan Keluar Penjara
Nasib Datuk Seri Najib Razak mempunyai nilai emosi yang besar kepada akar umbi UMNO. Selagi isu pengampunan, tahanan rumah dan keputusan berkaitan beliau tidak diselesaikan secara telus, perkara itu akan terus dianggap sebagai tali yang mengikat kepimpinan parti.
Semakin tegas UMNO menentang MADANI, semakin kuat kebimbangan bahawa usaha berkaitan Najib akan terus menemui jalan buntu.
3. Peruntukan Menteri UMNO Akan Disekat
Menteri UMNO mungkin masih memiliki pejabat, gelaran dan protokol tetapi keberkesanan mereka bergantung pada kelulusan kewangan serta kerjasama pentadbiran pusat.
Peruntukan boleh diperlahankan, dikecilkan atau dikawal lebih ketat supaya akhirnya, menteri UMNO dipersalahkan kerana gagal membawa pembangunan sedangkan kuasa kewangan sebenar berada di tangan pihak lain.
4. Akaun Media Sosial Akan Mengalami “Shadow Ban”
Dakwaan sekatan capaian sukar dibuktikan tanpa data daripada platform. Namun jika kandungan yang mengkritik kerajaan berulang kali kehilangan capaian, dipadam atau disekat, persepsi bahawa gelanggang digital tidak lagi seimbang akan semakin kuat.
Pemimpin UMNO mungkin masih bebas bercakap tetapi kebebasan itu tidak bermakna jika suara mereka tidak sampai kepada rakyat.
5. Skandal Lama Akan “Tiba-Tiba” Didedahkan
Dalam perang persepsi, seseorang tidak perlu disabitkan untuk dimusnahkan. Cukup namanya dikaitkan berulang kali dengan sesuatu skandal sehingga tuduhan diterima seolah-olah keputusan mahkamah.
6. Jawatan dalam GLC dan Agensi Akan Ditarik Balik
Langkah ini bukan sekadar menghilangkan jawatan. Ia memutuskan rangkaian pengaruh, sumber dan keupayaan politik UMNO.
7. Jawatan Kabinet Akan Dijadikan Ugutan
Kedudukan menteri dan timbalan menteri daripada UMNO boleh dijadikan alat membeli kepatuhan. Pemimpin yang terlalu lantang mungkin diancam dengan pertukaran portfolio, rombakan atau pengguguran daripada kerajaan.
UMNO akhirnya dipaksa memilih antara mempertahankan prinsip parti dengan mempertahankan kerusi Kabinet. Apabila jawatan menjadi harga untuk membeli diam, hubungan itu bukan lagi perkongsian, tetapi kawalan.
8. Tekanan Akan Diperluaskan kepada Keluarga dan Rangkaian Pemimpin
Jika tekanan langsung tidak berkesan, tumpuan boleh beralih kepada ahli keluarga, pegawai, bekas pembantu atau rakan perniagaan seseorang pemimpin.
Siasatan yang sah mesti dihormati. Namun apabila tindakan muncul serentak dengan perubahan pendirian politik, masyarakat akan melihatnya sebagai amaran bahawa bukan individu sahaja boleh ditekan, malah seluruh rangkaian terdekatnya.
9. UMNO Akan Dipaksa Menjadi Jurucakap Dasar yang Ditolak Akar Umbi
Tekanan paling berbahaya berlaku apabila UMNO dipaksa mengundi, mempertahankan dan menjual dasar yang tidak diyakini oleh ahlinya sendiri.
MADANI memperoleh perlindungan politik tetapi UMNO menanggung kemarahan rakyat. Setiap kali parti mempertahankan keputusan yang bercanggah dengan suara akar umbi, sedikit demi sedikit maruah, identiti dan kepercayaan penyokongnya terhakis.
10. UMNO Akan Dikuburkan
Pernah Tun Dr Mahathir Mohamad mahu “menguburkan” UMNO tetapi Anwar Ibrahim ketika itu dikatakan menghalangnya. Ironinya, sejarah boleh berputar dengan wajah berbeza, tokoh yang pernah dikatakan menghalang UMNO daripada dikuburkan kini mengetuai pentadbiran yang berpotensi menyempurnakan proses tersebut.
UMNO tidak perlu diharamkan atau dibubarkan. Cukup pemimpinnya ditekan, jenteranya dilumpuhkan, akar umbinya dikecewakan dan identitinya dipadam. Apabila penyokong meninggalkan parti, UMNO hanya tinggal nama besar tanpa kekuatan sebenar.
Ahli dan penyokong setia UMNO-BN, bersedialah!
Tags
Politik

