KUALA LUMPUR, 18 Ogos — Kerajaan mungkin mempertimbangkan untuk mengkaji semula Akta Rahsia Rasmi (ARR) sebagai sebahagian daripada rangkaian pembaharuan yang sedang digerakkannya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato' Sri Azalina Othman Said hari ini.
Azalina berkata, akta yang diperkenalkan pada 1972 itu perlu dikemas kini supaya kekal relevan mengikut peredaran masa. Bagaimanapun, beliau menolak kemungkinan akta tersebut dimansuhkan sepenuhnya.
“Kita perlu menjalankan kajian yang sewajarnya kerana ia (ARR) perlu berubah mengikut peredaran masa,” katanya ringkas kepada pemberita ketika ditanya mengenai aspek undang-undang tersebut yang memerlukan semakan.
Dalam perkembangan berasingan, Azalina turut mengesahkan bahawa Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan bagi memisahkan jawatan Pendakwa Raya dan Peguam Negara telah siap untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menentukan bila rang undang-undang tersebut akan dibawa ke Dewan Rakyat.
“Beliau (Anwar) perlu mendapatkan sokongan majoriti dua pertiga daripada Ahli Dewan sebelum membentangkannya.
“Jadi, jika beliau memutuskan untuk mengemukakannya bagi pengundian pada sidang Parlimen akan datang, maka ia akan dibentangkan pada sidang tersebut. Namun, semuanya sudah siap,” katanya.
Azalina berkata, beliau juga menjangkakan rang undang-undang itu memperoleh sokongan majoriti dua pertiga apabila dikemukakan untuk pengundian memandangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) yang dianggotai wakil pelbagai parti telah meneliti dan meluluskan draf berkenaan.
Pada asalnya dijadualkan untuk dibahaskan pada persidangan Mac, Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan itu kemudiannya dirujuk kepada JKPK untuk penelitian lanjut selepas beberapa Ahli Parlimen penyokong kerajaan membantah draf tersebut.
Tags
Berita

