Malaysia Hot

Azalina: UMNO komited memastikan kestabilan Kerajaan Persekutuan hingga tamat penggal





KUALA LUMPUR: UMNO komited terhadap kestabilan Kerajaan Persekutuan dan akan terus menghormati perjanjian Kerajaan Perpaduan yang ditandatangani selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Ketua Penerangan UMNO, Dato' Sri Azalina Othman Said.

Beliau berkata, perjanjian itu ditandatangani bagi membentuk dan memastikan kestabilan Kerajaan Persekutuan sepanjang tempoh Parlimen ke-15, dengan kerjasama antara parti berteraskan sikap saling menghormati tanpa menghapuskan identiti, haluan atau pendirian politik masing-masing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu berkata, perbezaan di peringkat Persekutuan perlu diuruskan secara matang bagi mengelakkannya daripada menjejaskan tadbir urus serta keyakinan rakyat.

“Keutamaan kita mestilah memastikan Kerajaan Persekutuan terus stabil, agenda reformasi dilaksanakan dan kesejahteraan rakyat kekal menjadi keutamaan utama sehingga tamat penggal,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis (20 Ogos).

Mengulas dakwaan bahawa UMNO telah “mengkhianati” Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihan raya negeri Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini, beliau berkata perkara itu tidak seharusnya dinilai secara terpisah atau semata-mata berdasarkan perkembangan politik di peringkat negeri.

Azalina berkata, dakwaan sedemikian perlu dinilai secara tenang dan bertanggungjawab berasaskan fakta.

Beliau berkata, Malaysia ialah sebuah Persekutuan dan kerjasama politik di peringkat negeri tidak semestinya perlu menggunakan formula gabungan yang sama seperti diamalkan di peringkat Persekutuan.

Setiap negeri mempunyai mandat dan realiti politiknya sendiri, manakala pengundi di peringkat negeri mempunyai aspirasi serta hak untuk menentukan wakil dan kerajaan pilihan mereka melalui proses demokrasi, katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata perbezaan strategi atau bentuk kerjasama dalam sesuatu pilihan raya negeri tidak dengan sendirinya dianggap sebagai pelanggaran terhadap perjanjian Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Azalina turut berkata, perbincangan mengenai Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan seharusnya memberikan tumpuan kepada keupayaannya menunaikan komitmen kepada rakyat.

“Kerajaan Perpaduan mesti terus menunaikan komitmennya kepada rakyat sepanjang baki penggal Parlimen ke-15, seperti yang dijanjikan dalam manifesto blok politik masing-masing pada PRU15 lalu,” katanya.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال