Bekalan bahan api, termasuk petrol dan diesel, di stesen minyak PETRONAS di seluruh negara dijangka kekal stabil dan mencukupi sehingga September, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), DAto' Sri Azalina Othman Said.
Beliau berkata, rangkaian tersebut meliputi kira-kira 50 peratus daripada keperluan bahan api domestik negara yang dibekalkan oleh PETRONAS melalui anak syarikat tersenarainya, Petronas Dagangan Berhad.
Menurutnya, perkara itu dilaporkan dalam mesyuarat mingguan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), menerusi jawapan bertulis yang dimuat naik di laman web Dewan Negara bertarikh 29 Julai dan dikeluarkan pada Jumaat.
Azalina berkata, bagi memastikan keperluan bahan api negara mencukupi serta menyelaraskan usaha kerajaan menangani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat, Pasukan Petugas Pengurusan Krisis di bawah MTEN sentiasa memantau keadaan bekalan bahan api dan tenaga negara.
Pemantauan itu bertujuan memastikan jaminan bekalan bagi bulan-bulan mendatang, selain mengawal harga serta mencegah aktiviti penyeludupan dan kegiatan haram.
“Usaha terus dilaksanakan untuk mendapatkan bekalan minyak mentah daripada negara pengeksport selain Asia Barat, termasuk dari Afrika Barat dan benua Amerika, tertakluk kepada kesesuaian gred minyak mentah serta syarat komersial berkaitan,” katanya.
Azalina berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Tan Sri Low Kian Chuan mengenai tahap kemampanan jangka panjang dan kepelbagaian sumber petroleum negara, serta strategi PETRONAS dalam memastikan keselamatan tenaga negara di tengah-tengah peningkatan penggunaan bahan api domestik.
Menjawab pertanyaan Low mengenai jumlah rizab minyak mentah dan gas asli Malaysia serta anggaran jangka hayat setiap rizab berdasarkan kadar pengeluaran semasa, Azalina berkata, berdasarkan maklumat PETRONAS, rizab minyak mentah Malaysia dianggarkan berjumlah 3.89 bilion tong setara minyak.
Sementara itu, jumlah keseluruhan rizab gas asli dianggarkan sebanyak 13.19 bilion tong setara minyak setakat 1 Januari 2026.
Berdasarkan anggaran rizab tersebut, jangka hayat pengeluaran bagi setiap rizab dianggarkan melebihi 20 tahun, katanya.
Tags
Berita

