Pada mulanya ia dijual sebagai revolusi akuakultur. Teknologi pintar kononnya membantu penternak ikan mengawal makanan, mendapatkan pembiayaan dan menjual hasil melalui sebuah ekosistem digital.
Akhirnya yang diberi makan bukan ikan.Yang kenyang ialah angka palsu.
Pada Julai 2023, Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan atau KWAP melabur dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery. Jawapan Parlimen menyebut pelaburan berjumlah AS$47.7 juta atau hampir RM200 juta. KWAP kemudian menjelaskan jumlah sebenar yang direkodkan ialah RM163.4 juta bagi pegangan kira kira 2.51 peratus.
Apa yang pelik dan menjadi tandatanya ialah perbezaan hampir RM40 juta itu. Dan pihak KWAP atau Menteri Kewangan sendiri perlu perjelaskan. Adakah RM200 juta sekadar penukaran AS$47.7 juta menggunakan kadar mata wang ketika transaksi, manakala RM163.4 juta ialah kos sebenar dalam buku KWAP. Wang awam tidak sepatutnya mempunyai dua angka tanpa penyelarasan yang mudah difahami.
eFishery bukan perniagaan tong makanan ikan biasa. Syarikat itu kononnya menawarkan mesin pemberi makanan automatik, bekalan makanan, pembiayaan dan saluran pasaran kepada penternak ikan serta udang. Ceritanya cukup cantik untuk dunia pelaburan teknologi. Masalah besar kononnya diselesaikan oleh teknologi. Pasaran luas. Pertumbuhan tinggi. Keuntungan sudah kelihatan.
Cantik sangat sehingga ramai terlupa memeriksa sama ada ikan itu benar benar wujud.
Siasatan yang dilaporkan media antarabangsa menemukan jurang luar biasa. eFishery dikatakan memaklumkan pelabur bahawa pendapatannya bagi sembilan bulan pertama 2024 mencapai AS$752 juta dengan keuntungan AS$16 juta. Angka sebenar yang dianggarkan penyiasat ialah sekitar AS$157 juta hasil dan kerugian AS$35.4 juta.
Lebih 75 peratus angka yang dipersembahkan didakwa tidak benar. Syarikat itu juga dikatakan menggambarkan penggunaan lebih 400,000 mesin pemberi makanan, sedangkan semakan menunjukkan hanya kira kira 6,300 digunakan dan sekitar 600 menghantar data.
Itu bukan kesilapan Excel. Itu bukan unjuran terlebih optimistik. Itu sebuah realiti korporat yang kelihatan dibina dengan angka khayalan.
Pengasas bersama dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif eFishery, Gibran Huzaifah, disabitkan oleh Mahkamah Negeri Bandung atas kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang haram pada 29 April 2026. Hukuman sembilan tahun yang dijatuhkan mahkamah rendah kemudian dilaporkan dikurangkan kepada enam tahun oleh mahkamah rayuan pada Julai.
Maka dalang penipuan di Indonesia bukan lagi misteri sepenuhnya. Mahkamah telah membuat sabitan terhadap pengurusan yang terlibat.
Persoalan Malaysia berbeza.
Siapa menilai pelaburan itu. Siapa mengesyorkannya. Siapa meluluskan AS$47.7 juta. Siapa memantau syarikat selepas wang dipindahkan. Siapa membaca laporan prestasi tanpa mengesan jurang antara ratusan ribu mesin yang didakwa dengan beberapa ribu yang benar benar digunakan.
Kerajaan menjelaskan bahawa KWAP menjalankan penilaian dalaman, usaha wajar bebas serta semakan kewangan, undang undang dan operasi. Penyata kewangan pula dikatakan telah disahkan oleh juruaudit antarabangsa. Temasek, SoftBank, 42XFund dan Northstar turut melabur.
Senarai nama besar itu menerangkan bagaimana KWAP boleh terpedaya. Ia tidak membebaskan KWAP daripada tanggungjawab.
Jika ramai institusi ternama masuk ke lubang yang sama, lubang itu memang disamarkan dengan baik. Namun dana pencen tidak membayar profesional untuk mengikut orang ramai. Mereka dibayar untuk memahami risiko sebelum wang rakyat mengikutnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pelaburan itu dipertimbangkan Panel Pelaburan KWAP sebelum diluluskan Lembaga. Panel tersebut terdiri daripada profesional dan keputusannya tidak memerlukan kelulusan Kementerian Kewangan. Beliau turut menegaskan bahawa belum ada petunjuk salah laku di pihak Malaysia setakat ini.
Mengikut Laporan Bersepadu KWAP 2023, rekod KWAP bagi 2023 menunjukkan Panel Pelaburan ketika itu dipengerusikan Dato Mohamad Nasir Ab Latif. Ahlinya termasuk wakil Kementerian Kewangan, tokoh sektor swasta dan Ketua Pegawai Eksekutif KWAP ketika itu, Datuk Nik Amlizan Mohamed, sebagai setiausaha panel. Malah rakyat bertanya, bagaimana pula dengan Menteri Kewangan?
Menyebut struktur dan nama yang memegang jawatan bukan bermaksud menuduh mereka melakukan jenayah. Kelulusan pelaburan gagal juga tidak membuktikan rasuah. Ia menjelaskan rantaian akauntabiliti yang wajib diperiksa.
SPRM telah membentuk pasukan khas dan merakam keterangan 10 saksi daripada kalangan pegawai kanan KWAP serta Kementerian Kewangan. Dokumen yang diperiksa termasuk kertas cadangan awal dan akhir, laporan lawatan tapak, minit mesyuarat, laporan usaha wajar, prosedur pelaburan dan rekod kewangan. Ahli Jawatankuasa Kewangan serta Panel Pelaburan turut dijangka dipanggil.
Inilah tempat sebenar untuk mencari jawapan.
Bukan dengan menuduh tanpa bukti. Bukan juga dengan berlindung di sebalik alasan bahawa Temasek dan SoftBank turut tertipu.
KWAP mempunyai dana RM195.26 bilion dan pendapatan pelaburan kasar RM8.33 bilion pada 2025. Kerugian RM163.4 juta tidak akan menghentikan pembayaran pencen. Saiznya kurang 0.1 peratus daripada keseluruhan dana.
Angka kecil dalam portfolio masih wang besar bagi rakyat. Dengan RM163.4 juta, kerajaan boleh membina sekolah, klinik, jambatan atau membiayai ribuan pesara untuk tempoh yang panjang.
Menyebut kerugian itu kecil tidak menjawab bagaimana ia berlaku. Menjanjikan kawalan lebih ketat tidak menjelaskan siapa gagal mengawal dahulu. Menyatakan semua prosedur dipatuhi pula menimbulkan soalan yang lebih menakutkan.
Jika penipuan sebesar ini boleh melepasi semua prosedur, apakah sebenarnya nilai prosedur tersebut.
Dalang penipuan eFishery telah dibawa ke mahkamah di Indonesia. Malaysia kini perlu menentukan sama ada kita sekadar menjadi mangsa penipuan yang canggih atau mangsa kepada keyakinan yang terlalu mudah.
Ikan mungkin memerlukan mesin untuk diberi makan. Rakyat hanya memerlukan satu jawapan. Siapa yang meluluskan wang mereka masuk ke dalam kolam itu dan siapa yang akan bertanggungjawab jika wang tersebut tidak pernah kembali.
Tambah kepelikan di dalam skandal ini ialah, kenapa selepas 3 tahun baru meletop!

