Malaysia Hot

'Jangan salahkan politik identiti' - Ketua UMNO Bahagian Batu


KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) ditempelak susulan dakwaan kekalahan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan semalam, berpunca akibat politik identiti atau perkauman melampau.

Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, berkata alasan PH untuk menyalahkan rakyat Negeri Sembilan yang mengundi berdasarkan kaum, bukannya prestasi.

"PH diingatkan jangan terlalu 'polarized' (mempolarisasikan) sikap Melayu. Perlu diingatkan orang Melayu tidak menolak kaum Cina, sebaliknya hanya membantah DAP kerana dasar termaktub dalam Deklarasi Setapak.

"Orang Melayu juga menolak DAP kerana konsep Malaysian Malaysia yang ingin menjadikan kesamaratan rakyat di negara ini sebagai agenda utama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan mendakwa kempen PRN Negeri Sembilan ke-16 bersifat identiti dan perkauman luar biasa hingga menyebabkan kekalahan gabungan itu.

Amirudin yang juga Naib Presiden PKR berkata, kaedah kempen PRN Negeri Sembilan dikatakan lebih bersifat identiti yang mampu menyamai unsur memecahbelahkan masyarakat dan negeri, selain menimbulkan kegelisahan serta prasangka dalam kalangan rakyat.

Sementara itu, Gulam Muszaffar turut juga Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan mempersoalkan dakwaan PH mengenai bukan Melayu akan terancam jika persefahaman Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada PRN Negeri Sembilan berhasil.

"Jajaran baharu BN dan PN pada PRN Negeri Sembilan (dibuat) atas sifat perpaduan dan kekuatan umat Melayu di negara ini. Kem PH dengan sinis menyatakan bukan Melayu akan terancam jika jajaran ini berjaya. Terancam macam mana?.

"Adakah menjadikan perpaduan Melayu selama ini akan menggugat serta (menjadi) ancaman kepada pihak yang hanya memikirkan kepentingan mereka," katanya.

Mengulas lanjut, Gulam Muszaffar berkata, politik identiti berlandaskan kaum sudah berlaku sejak turun-temurun di negara ini.

Rentetan itu, katanya, banyak parti politik wujud dan terbentuk mengikut kaum seperti UMNO, PAS, MCA, MIC, DAP dan GERAKAN, termasuk di Sarawak dan Sabah.

"Bukan hanya politik, tetapi dalam bidang ekonomi dan politik juga berlaku atas dasar identiti. Tidak dinafikan bangsa Cina lebih berjaya dan ini bermakna hak mereka tidak pernah dinafikan dalam sektor perniagaan.

"Begitu juga di sektor pendidikan, masih kekal sekolah vernakular. Kenapa ia tidak dipersoalkan kerana majoriti rakyat yang masih faham atas dasar tolerensi tinggi dan kemajmukan kaum di negara ini," katanya.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال